Tidak Patah Semangat Untuk Mengambil SPM Walaupun Patah Tangan

Klang: Walaupun patah tangan, paha dan kaki kanan, ia tidak sesekali mematahkan semangat Muhammad Zulhaiqal Azni, 17, untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lebih memeritkan, kemalangan pada 13 Julai lalu itu turut mengakibatkan saraf jari kanannya putus hingga membuatkan dia tidak boleh menulis dan hanya menjawab peperiksaan dengan komputer menggunakan tangan kiri atas katil di bilik khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Muhammad Zulhaiqal yang menunggang motosikal bersendirian terbabas selepas mengelak sebuah kereta di Jalan Akub menghala ke Kapar.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia mengakui sukar untuk menjawab kertas peperiksaan kertas Bahasa Melayu Satu dan Pendidikan Seni Visual (Teori Seni) menggunakan komputer.

“Agak susah untuk menaip kerana saya tidak biasa menggunakan tangan kiri dan akan membataskan pergerakan serta keselesaan diri.

“Selain itu, saya tidak mempunyai komputer di rumah dan hanya berlatih menggunakan telefon bimbit,” katanya ketika ditemui.

Kata Muhammad Zulhaiqal, dia bertegas untuk mengambil peperiksaan SPM tahun ini walaupun mendapat kelonggaran bagi penangguhannya.

“Saya tidak mahu tangguh dan menghampakan semua terutama keluarga. Saya turut bersyukur mempunyai rakan dan guru yang kerap memberi dorongan dan semangat,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Jumaany Idris, 43, berkata, dia bangga dengan anaknya yang bersemangat menduduki peperiksaan berkenaan.

“Ketika ditimpa kemalangan itu, dia dalam keadaan koma dan dirawat di hospital selama sebulan sehingga 11 Ogos lalu.

“Saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk menguruskan dia di rumah selain berulang-alik ke hospital setiap dua hari untuk mencuci lukanya. Alhamdulillah, doktor memberitahu perkembangan kesihatannya bertambah baik,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

Add Comment