Terkejut Anak Kucing Baru Di Lahirkan Bermuka Dua

PENIAGA pisang goreng di Taman Cahaya (PKNK), Sungai Petani, terkejut apabila kucing peliharaannya diberi nama Comel melahirkan seekor anak kucing bermuka dua.

Zakirah Yaacob, 55, berkata, kejadian itu disedari apabila dia cuba mengalihkan seekor daripada tiga anak kucing yang dilahirkan kerana kelihatan lemah, Khamis lalu.

“Ketika ingin keluar ke pasar, saya melihat Comel sedang dalam kesakitan untuk melahirkan anak. Saya cuba membantunya, namun gagal disebabkan Comel kelihatan begitu sakit ketika saya ingin menarik anaknya itu.

“Selepas pulang dari pasar, saya melihat Comel sudah selesai melahirkan ketiga-tiga ekor anak kucing, bagaimanapun seekor daripadanya kelihatan tidak bermaya membuatkan saya cuba mengalihkan anak kucing itu daripada ibunya dan ketika itu saya menyedari anak kucing itu mempunyai dua muka,” katanya.

Zakirah berkata, dia begitu terkejut melihat keadaan anak kucing itu lantas memberitahu ahli keluarga yang lain.

“Pada awalnya saya ingat dia mengalami kecederaan pada wajahnya kerana kelihatan terdapat isi kemerah-merahan di sebelah kanan pipinya.

“Tetapi apabila saya amati kembali kawasan itu, warna merah itu sebenarnya adalah hidung yang turut terdapat misai selain terdapat satu mata pada kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Biarpun terkejut, dia sekeluarga sangat berharap supaya anak kucing itu dapat hidup dan membesar.

“Kami sekeluarga sangat berharap anak kucing ini dapat hidup dan akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya.

Harian Metro

 

Add Comment