‘Tak Cukup Duit Nak Beli Dadah, Curi Motor Kawan lah’

PENDANG: Mulanya pinjam, tetapi lama-kelamaan motosikal kawan dicurinya demi dadah.

Individu berkenaan merupakan antara 20 penagih yang ditahan lewat petang semalam di kebun kelapa sawit, di Kampung Paya Kerchut dekat Pendang, Kedah, ketika sedang khayal menghisap dadah.

Pelbagai alasan diberi apabila rakannya memintanya memulangkan kembali motosikal.

Namun selepas diperiksa, motosikal yang ‘dipinjam’ itu sebenarnya dilaporkan hilang di Alor Setar awal tahun lalu.
Ketika disiasat polis, lelaki itu mendakwa datang ke kawasan itu bersama rakannya dengan menunggang motosikal lain.

Tetapi sebaik menyedari kehadiran polis, dia terus membonceng motosikal yang ada di kawasan itu sebelum terbabas.

Seramai 20 penagih berusia 19 hingga 56 tahun ditahan kerana disyaki terbabit menagih dadah dalam 'Ops Sarang' petang semalam. - Astro AWANI

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim memaklumkan, dalam ‘Ops Sarang’ itu seramai 20 penagih berusia 19 hingga 56 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan menagih dadah.

Mereka di hantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk siasatan lanjut manakala sebahagian lain diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

Ujar Fadzil, suspek yang ditahan bersama motosikal itu disiasat mengikut seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri motosikal dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Selebihnya disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

‘Ops Sarang’ itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pendang bersama pejabat AADK daerah, Balai Polis Pendang dan Balai Polis Bukit Jenun.

Operasi dijalankan kerana kawasan itu dipercayai menjadi sarang penagihan dadah sejak sebulan lalu.

Sumber:  ASTRO AWANI

Add Comment