Seorang Wanita Terkejut Melihat Hantu Mata Merah Dalam Mailbox

Kita pasti berasa terkejut apabila membuka peti surat dan tiba-tiba melihat terdapat dua biji mata merah sedang memandang dan bukan pula surat yang diletakkan di dalamnya. Seorang wanita di Kansas, Amerika Syarikat hanya tersentak seketika dan langsung tidak berasa takut, sebaliknya berasa geram kerana dia telah menjumpai haiwan yang sangat comel diletakkan di dalam peti suratnya.

Seorang penduduk di Lyon County sedang memeriksa peti surat pada satu hari di bulan April apabila wanita ini telah bertentang mata dengan seekor haiwan comel di dalamnya yang sepatutnya dipelihara di dalam rumah.

Haiwan comel ini ialah seekor tikus Belanda berwarna coklat susu dan putih. Siapa yang tidak berasa geram!

Kasihan melihat tikus Belanda ini ditinggalkan semalaman di dalam peti surat tanpa air dan makanan, wanita ini telah menghubungi pejabat Sherif Lyon County untuk mendapatkan bantuan. Tikus Belanda ini kemudian telah dibawa ke Pusat Perlindungan Haiwan Emporia.

Oleh kerana matanya yang berwarna merah, kakitangan pusat perlindungan telah menamakan tikus Belanda comel ini dengan nama Rosita. Setelah diperiksa oleh doktor haiwan, didapati Rosita adalah tikus Belanda dewasa yang sihat.

Bagaimana Rosita boleh berada di dalam peti surat yang tinggi itu melainkan ia telah ditinggalkan dengan sengaja di situ.

 

Setelah disiasat oleh pihak berkuasa, sememangnya Rosita dengan sengaja telah ditinggalkan di dalam peti surat itu oleh seorang remaja berusia 17 tahun. Remaja perempuan ini telah didakwa dengan kesalahan penderaan haiwan bersama seorang lagi rakannya yang berusia 18 tahun.

Pihak berkuasa juga mendapati selain Rosita, remaja ini juga telah melepaskan dua ekor tikus Belanda ke dalam hutan, dan percubaan menjejak mereka amat sukar dan menemui kegagalan.

Dan bagi Rosita pula, rumah perlindungan haiwan kini telah menjadi rumah tempatnya berteduh buat selamanya.

Walaupun menurut undang-undang perlindungan haiwan di Kansas yang akan membenarkan haiwan di rumah perlindungan haiwan boleh diambil pemilik angkat selepas 21 hari, tetapi Rosita telah dikekalkan untuk dijaga dan dipelihara oleh kakitangan Rumah Perlindungan Haiwan Emporia setelah ia ditaja oleh Sahabat Rumah Perlindungan Haiwan Emporia. Bertuah nasib badan Rosita yang comel ini.

Sumber: Era Baru

Add Comment