Selangor Bakal Putus Air Lagi Sebab Berhutang RM 75 Juta

ALAHAI… Selepas jutaan rakyat marhaen Selangor menderita akibat ketiadaan bekalan air dirawat sepanjang minggu, kali ini mereka perlu bersiap siaga dengan keadaan yang jauh lebih buruk lagi.
Ini kerana pihak Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dalam satu kenyataan media hari ini mendedahkan risiko berlaku gangguan elektrik pada beberapa buah Loji Rawatan Air (LRA) di bawah kendaliannya.

Ia susulan operator Splash O&M, iaitu Sungai Harmoni Sdn. Bhd. dan Gamuda Water Sdn. Bhd. sudah menerima writ saman daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) ekoran kegagalan membayar bil elektrik berjumlah RM75 juta.

Kedua-dua operator itu didakwa berhutang tunggakan kepada syarikat utiliti kebangsaan tersebut masing-masing RM36 juta dan RM39 juta melibatkan LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Berikutan kegagalan membayar bil terbabit, pihak TNB juga mengancam bertindak memotong bekalan elektrik di loji Splash sekali gus bakal menyebabkan bekalan air dirawat akan terputus melibatkan jutaan akaun pengguna.

Untuk rekod, kemelut hutang berlaku selepas Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) ambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Puncak Niaga Sdn. Bhd. dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd. pada 2016.

Bagaimanapun Syabas di bawah pentadbiran baharu terus mengurangkan peruntukan dana kepada Splash iaitu hanya kira-kira 36 peratus daripada bil semasa mengakibatkan operator berkenaan mengalami tunggakan bayaran.

“Pada peringkat itu, tidak mungkin bagi operator Splash O&M membayar bil TNB, caj kimia dan kos operasi lain. Sebelum Air Selangor mengambil alih Syabas, operator Splash berjaya menyelesaikan segala bil TNB,” katanya.

Ketika beberapa sesi dialog diatur oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk Splash dengan Syabas, pihak Air Selangor sebenarnya berjaya menjelaskan bayaran kepada Splash perlu dikurangkan.

Ini kerana ia perlu membuat banyak pembayaran pajakan baharu kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) atas pembiayaan untuk pembelian ekuiti syarikat air di Selangor. Namun keadaan mula berubah selepas itu.

“Kami berpendapat jika Syabas dan Air Selangor sebagai sebuah kumpulan pun boleh mengalami kekurangan wang tunai, mereka patut mendapatkan suntikan tunai daripada kerajaan negeri dan bukan menghukum Splash.

“Syabas harus mengutamakan bayaran kepada beberapa pemiutangnya dan hanya selepas itu, mendahulukan sebarang lebihan wang kepada Air Selangor untuk sewa pajak dan bayaran lain,” kata kenyataan Splash tersebut.

Meskipun dalam keadaan serba kekurangan dana, menurut kenyataan itu, Splash sentiasa dikehendaki memenuhi 110 peratus komitmen pembekalan air dirawat sedangkan hanya menerima bayaran 36 peratus daripada bilnya.

Malahan, walaupun terpaksa perlu menanggung kekurangan bayaran yang kronik itu, katanya, pihak Splash sentiasa komited untuk memastikan proses rutin berjadual pembekalan air dirawat tidak terganggu di seluruh Selangor.

“Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh dan Charles Santiago (Ahli Parlimen Klang) mesti tidak dimaklumkan mengenai tanggungjawab itu apabila berceramah serta menuding jari menyalahkan pihak lain.

“Splash menghasilkan air pada tahap kualiti dan kuantiti dikehendaki untuk Syabas mengikut permintaan serta tidak pernah mungkir kewajipan sebagai operator di bawah Perjanjian Konsesi dengan kerajaan negeri,” katanya.

Kenyataan itu jelas merujuk kepada komen Hannah dan Charles minggu lalu yang berterusan menyalahkan pihak Kerajaan Persekutuan waima kerajaan Selangor sudah menerima dana untuk memastikan bekalan air diurus baik.

Menyentuh insiden sistem mampatan udara pecah di LRA SSP3 Bukit Badong pada 6 Mac lalu, ia berpunca daripada tekanan pada bahagian sambungan elbow joints akibat terpaksa menampung lebihan beban secara berterusan.

Dapatan berkenaan adalah hasil siasatan awal terhadap kejadian berlaku pada pukul 4.15 petang tarikh tersebut walhal sepanjang beberapa tahun lalu, Splash sudah menulis beberapa surat kepada pihak kerajaan negeri.

Ia untuk memaklumkan lojinya tidak direka untuk beroperasi melampaui kapasiti sepatutnya secara jangka panjang sejak 2013 apabila pentadbiran kerajaan negeri mula jatuh daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

“Jika berlaku, tindakan sedemikian akan mengakibatkan kerosakan intrinsik pada loji berkenaan yang akan membawa risiko berlaku kerosakan tidak dijangka,” kata kenyataan itu. Splash memiliki 10 pam di loji terbabit.

Bagaimanapun apa yang berlaku selama ini hanya lima daripada pam di LRA tersebut yang digunakan secara maksimum untuk menghasilkan bekalan air terawat bagi memenuhi kapasiti berlebihan beban berkenaan.

“Justeru, hakikat bahawa empat pam lain sedang dibaiki ketika insiden berlaku adalah tidak penting dan langsung tiada kaitan pun dengan kejadian buruk tersebut atau operasi loji berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kejadian sistem mampatan udara pecah itu berlaku ketika operasi loji terbabit hampir pulih semula berikutan kejayaan menyelesaikan kerja baiki kerosakan dalam tempoh lebih awal daripada dijadualkan.

Tambah kenyataan Splash, insiden itu mengakibatkan kerosakan struktur teruk pada sistem berkenaan dan 50 pekerja kemudian dikerah serta-merta melaksanakan kerja pembaikan itu secara berterusan di loji terbabit.

“Ia membabitkan penggunaan peralatan secara intensif iaitu dua kren mudah alih, tiga jengkaut dan lapan set kimpalan. Splash memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa kepada pelbagai pihak.

Ini termasuk pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor yang turut berada di loji terbabit untuk membantu dalam memantau kerja baik pulih berkenaan bersama pihak Splash sendiri.

“Hebahan awam mengenai perkembangan terkini dari semasa ke semasa adalah tanggungjawab Air Selangor sebagai pengedar air,” katanya. Splash menegaskan pihaknya sentiasa jalan kerja penyelenggaraan dijadualkan.

Bahkan ia diaudit oleh pihak SPAN dengan yang terkini pada tahun lalu. Kata kenyataan itu, Splash komited dalam mengekalkan standard kualiti tertinggi dan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kontingensi.

“Splash diperakui standard antarabangsa Kualiti, Alam Sekitar, Keselamatan dan Kesihatan (QESH) serta lulus pensijilan tahunan dengan laporan sifar ketidakpatuhan (NCRs) sepanjang tujuh tahun lalu,” katanya.

Sumber:  MYNEWSHUB.CC

Add Comment