Selama 11 Tahun Dia Melawat Kubur Akhirnya Dia Pulak Mati Bertemu Tuannya

Tidak dapat dinafikan lagi, anjing adalah haiwan peliharaan dan teman manusia yang paling rapat. Anjing tidak pernah meninggalkan tuan mereka walaupun tuan mereka telah meninggal dunia.

Pada 19 Februari lalu, seekor anjing baka campuran German telah didapati mati disisi kubur tuannya selepas 11 tahun tinggal di situ. Kejadian yang meruntun jiwa ini berlaku di tanah perkuburan di Argentina.

Menurut NTD, anjing itu bernama Capitán dan merupakan anjing yang ceria ketika kali pertama di bawa pulang ke rumah oleh Miguel Guzman sebagai hadiah untuk anak lelakinya Damian yang berusia 13 tahun.

Malangnya Miguel meninggal dunia pada tahun 2005 dan Capitán hilang tanpa jejak selepas itu. Ahli keluarga Miguel menyangka Capitán telah melarikan diri dan mungkin telah diambil oleh orang lain untuk dipelihara.

Walau bagaimanapun, mereka terkejut apabila melihat Capitán terbaring di hadapan kubur Miguel. Itulah saat yang paling menyedihkan apabila melihat pertemuan semula Damian dan anjingnya. Capitán segera menyalak apabila namanya dipanggil oleh Damian.

Capitán mengikut keluarga itu pulang ke rumah tetapi ia kembali semula ke kubur Miguel. Capitán akan pulang ke rumah sekali sekala tetapi sejak Januari 2007, anjing itu telah menjadikan kubur sebagai tempat tinggalnya.

Mereka sekeluarga tertanya-tanya bagaimana Capitán berjaya mencari kubur Minguel kerana seingat mereka, mereka tidak pernah membawa Capitán pergi ke kubur sama ada sebelum atau selepas kematian Minguel.

Menurut pengarah tanah perkuburan tersebut, Héctor Baccega, anjing itu tiba-tiba muncul di sana dan telah mengelilingi kawasan perkuburan tersebut untuk mencari kubur tuannya. Akhirnya Capitán berhenti di hadapan kubur Miguel.

“Tiada siapa yang pernah membawanya ke sini dan tidak pernah langsung. Setiap hari pada jam 6 petang, ia akan pergi ke kubur dan baring di sana. Capitán akan mengikuti saya mengelilingi tanah perkuburan tetapi apabila tiba jam 6 petang, ia akan pergi ke kawasan bawah di mana terletaknya kubur orang yang disayangi, ” kata Héctor.

Tahun berganti tahun, Capitán semakin tua dan mengalami kesukaran untuk berjalan. Ia juga telah kehilangan penglihatan pada sebelah matanya. Seorang doktor haiwan berkata, mereka boleh merawat Capitán di hospital tetapi mereka lebih suka Capitán bersendirian dan menghabiskan masa-masa terakhirnya di kubur tuannya.

Pekerja tanah perkuburan ingin tahu mengapa Capitán tidak kelihatan pada 19 Februari lalu sehinggalah mereka menemui bangkai Capitán di tandas tanah perkuburan. Akhirnya Capitán pergi juga dan mungkin ia gembira untuk bertemu dengan tuannya di alam lain.

Add Comment