Sedih… Badak Didapati Sudah Pupus Di Malaysia

SEREMBAN – Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hamim Samuri hari ini berkata mengikut rekod terkini hidupan liar di Malaysia, badak jawa didapati sudah pupus.

“Malaysia melalui senarai terkini merekodkan badak jawa sebagai pupus, sementara empat spesies lain iaitu badak sumatera, Harimau Malaya, tenggiling dan seladang dinilai sebagai spesies terancam kritikal,“ katanya dalam ucapan perasmian Seminar Biodiversiti 2017 di sini, hari ini.

 

Selain itu, beliau berkata sebanyak 12 spesies dinilai sebagai terancam, 14 spesis (rentan), 33 spesies (hampir terancam).

“Hidupan liar kita menghadapi pelbagai ancaman disebabkan pengecilan habitat dan kawasan rayau ekoran aktiviti pembukaan kawasan hutan dan perubahan guna tanah. Selain kehilangan habitat, populasi hidupan liar juga turut merosot terutamanya bagi spesies harimau dan gajah ekoran aktiviti pemburuan dan perdagangan haram hidupan liar akibat permintaan yang tinggi di pasaran gelap,” katanya.

Hamim dalam sidang media kemudiannya berkata pada 2010 Jabatan Perhilitan berjaya merekodkan tiga ekor spesies badak jawa di negara ini namun spesies itu gagal dikesan dan direkodkan tahun ini menerusi pemantauan yang dijalankan menggunakan pelbagai kaedah termasuk pemasangan kamera.

“Bagi badak sumatera, tenggiling dan banteng (seladang), spesies itu kini sangat sedikit berbanding dengan sepatutnya yang ada…contohnya badak sumatera tinggal dua ekor sahaja dan dua ekor ini sudah tua dan tidak boleh membiak, bagi Harimau Malaya ada 250 ekor sahaja yang sepatutnya ada 1,000 lebih,” katanya.

Di dalam ucapannya, Hamim juga berkata sejumlah 2,130 spesis hidupan liar direkodkan mati akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh lima tahun sejak 2012.

Beliau berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini pula, sejumlah 212 hidupan liar direkodkan terkorban oleh Jabatan Perlidungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Kebanyakan hidupan liar yang terbunuh adalah daripada spesies terancam seperti tapir, beruang matahari, gajah, kambing gurun dan harimau. Saya dimaklumkan bahawa spesies tapir antara yang tertinggi menjadi mangsa dilanggar kenderaan.

“Rekod Jabatan Perhilitan menunjukkan bahawa 43 tapir terbunuh dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh lima tahun yang lalu,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan Kementerian, Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Terdahulu, Seminar Biodiversiti 2017 yang berlangsung selama tiga hari sejak semalam disertai ​​​​​​​118 pegawai agensi kerajaan persekutuan dan negeri, penyelidik dan individu perseorangan. – BERNAMA

Add Comment