Sari Yanti Selamat Melahirkan Anak Jep Sepahtu

PELAKON Sari Yanti mendedahkan bahawa dia melahirkan anak perempuannya lebih awal dari tarikh yang sepatutnya iaitu pada 17 Mei depan yang bersamaan 1 Ramadan.

Isteri kepada pelawak Jep (Sepahtu) itu berkata, pengalaman bersalin kali ini berbeza apabila dia berada lama di bilik bersalin sehingga merasakan bagaikan hampir-hampir terputus nafas.

“Kakak (merujuk dirinya) selamat melahirkan di usia kandungan kakak 37 minggu. Ingatkan dia keluar pada hari pertama Ramadan. Rupa-rupanya tak sabar bawa bahagia untuk semua terutama abah dia.

“Lama betul kakak dalam bilik bersalin kali ini. Terasa hampir terputus nafas kakak. Alhamdulillah, masih ada kesempatan untuk bersama dengan yang tersayang,” tulisnya di Instagram pada Khamis.

Sari, 34, selamat melahirkan bayi perempuan pada 25 April lalu di sebuah hospital swasta.

Pada posting yang sama, Sari mengumumkan Dariya Inara sebagai nama yang dipilih untuk bayi tersebut.

Sementara itu, Sari turut mengucapkan terima kasih kepada suaminya yang memberi semangat dan menunjukkan rasa bimbang sepanjang proses kelahiran.

“Terima kasih sayang untuk doa dan semangat, cinta dan kasih sayang. Wajah awak yanh sayang sangat, bimbang, panik, buntu, sebak semua itu menjadi memori yang sangat indah,” ujarnya.

Pelakon drama Cik Serba Tahu itu berkahwin dengan pelawak Jep pada 25 Februari tahun lalu.

Pada perkahwinan sebelum ini, Sari mempunyai dia cahaya mata lelaki iaitu Barr Al Aliy dan Baasit Al Haq.

Sumber:  mStar

Add Comment