Penyakit Berjangkit Akibat Kucing?

Penyakit ini bukan satu penemuan baru namun masih ramai dalam kalangan masyarakat kini yang masih tidak mengetahui maklumat terperinci mengenainya.

Mungkin juga segelintir individu yang mengetahuinya hanya tahu ia sejenis penyakit bawaan daripada kucing.

Ramai yang beranggapan toksoplasmosis atau lebih dikenali sebagai penyakit bawaan kucing hanya menjangkiti pembela kucing, namun hakikatnya penyakit ini boleh menular kepada sesiapa saja.

Toksoplasmosis adalah penyakit yang disebabkan sejenis parasit di dalam sel yang dikenali sebagai Toxoplasma gondii (T.gondii). Parasit ini pada asalnya hanya menjangkiti haiwan, tetapi kemudian ia mampu menular kepada manusia.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makmal Perubatan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA kampus Puncak Alam, Dr Tunku Shahrul Anuar Tunku Ahmad Basri, kucing dan keluarganya (Felidae) berperanan sebagai perumah definitif manakala kebanyakan haiwan berdarah panas termasuk mamalia dan manusia adalah perumah perantara bagi perkembangan parasit ini.

Menurutnya, T.gondii terdapat dalam tiga bentuk iaitu oosista (berisi sporozoit), takizoit dan sista tisu (berisi bradizoit).

“Tisu sista mampu berada dalam tubuh manusia seumur hidupnya dan boleh dijumpai terutama di bahagian otak, otot jantung, mata dan hati.

“T.gondii adalah satu daripada parasit yang menjangkiti hampir 25 peratus daripada populasi dunia. Berdasarkan pemeriksaan serologi yang dilakukan ke atas penduduk Malaysia yang sihat, sebanyak 30 hingga 40 peratus daripada mereka mempunyai antibodi yang positif terhadap parasit ini.

“Apabila seorang ibu hamil mendapat jangkitan T.gondii buat pertama kali, risiko untuk terjadinya toksoplasmosis kongenital pada bayi yang dikandungnya adalah tinggi,” katanya.

Dr Tunku Shahrul Anuar yang juga ahli Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia berkata, seekor kucing yang dijangkiti T.gondii mampu mengeluarkan jutaan oosista dalam najisnya.

“Oosista ini dapat bertahan satu tahun di dalam tanah yang lembap dan teduh. Manusia boleh dijangkiti parasit ini dengan pelbagai cara manakala bagi toksoplasmosis kongenital, penularan T.gondii kepada bayi berlaku melalui plasenta apabila ibunya dijangkiti buat pertama kali ketika hamil,” katanya.

Kaedah penularan

1. Makan sayur-sayuran atau buah-buahan yang tercemar dengan oosista.

2. Mempunyai hubungan langsung dengan najis kucing (yang mengandungi oosista) seperti menyentuh tangan dalam mulut selepas berkebun atau membersihkan najis kucing.

3. Makan daging mentah atau separuh masak yang mengandungi tisu sista.

4. Menggunakan perkakas atau papan pemotong yang belum dibersihkan selepas bersentuhan dengan daging mentah (yang mengandungi tisu sista).

5. Pemindahan organ atau darah daripada individu yang sudah dijangkiti dengan T.gondii (peringkat takizoit).

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar, kebanyakan mereka yang dijangkiti toksoplasmosis tidak menunjukkan gejala spesifik.

“Gejala klinikal yang sering dijumpai pada kebanyakan pesakit seperti demam, selesema, limfa membengkak, sakit otot dan sendi berpanjangan.

“Tetapi gejala ini akan menjadi lebih kronik kepada penghidap HIV atau AIDS dan individu yang menjalani rawatan kemoterapi serta penerima pemindahan organ.

“Pada masa sama, kesan toksoplasmosis terhadap ibu hamil dan bayi dalam kandungan ternyata lebih serius,” katanya.

Menurutnya, T.gondii boleh menyebabkan keguguran spontan, kelahiran bayi pramatang atau kematian bayi di dalam kandungan.

“Selain itu, parasit ini juga boleh menyebabkan kelahiran bayi dalam keadaan abnormal atau disebut sebagai kelainan kongenital seperti hidrosefalus (kepala membesar), mikrosefalus (kepala mengecil), terencat mental (gangguan kecerdasan), kelainan saraf mata (korioretinatis) dan kelainan sistemik seperti pembesaran hati dan limfa (hepatosplenomegali).

“Diagnosis toksoplasmosis pula dapat dilakukan dengan pemeriksaan serologi terhadap antibodi Toxoplasma (IgG dan IgM) menggunakan enzyme-linked immunosorbent assay (ELISA).

“Ujian TORCH juga disarankan untuk dilakukan pada ibu hamil pada trimester pertama kehamilan bagi mengetahui kemungkinan adanya jangkitan toksoplasma, rubela, cytomegalovirus, herpes dan HIV,” katanya.

Langkah pencegahan

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar, bagi individu yang memelihara kucing perlu pastikan kucing kesayangan itu menjalani pemeriksaan berkala oleh doktor haiwan.

“Jangan beri kucing anda makan daging mentah terutama untuk kucing yang dipelihara di rumah. Apa yang lebih penting, elak memelihara kucing ketika hamil bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah kesihatan membabitkan bayi yang dikandung itu,” katanya.

Antara langkah mudah yang boleh anda lakukan untuk mencegah penyakit bawaan haiwan kesayangan adalah:

1. Membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan

2. Menggunakan sarung tangan ketika berkebun atau mencuci najis kucing

3. Membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak

4. Mengelakkan pemakanan daging mentah atau separuh masak.

Sumber:  HARIAN METRO

Add Comment