Penjenayah Maut Ketika Cubaan Memecah Masuk Rumah

KOTA TINGGI: Seorang lelaki yang memecah masuk sebuah rumah, maut dipercayai ketika bergelut dengan mangsa, dalam kejadian di FELDA Simpang Waha, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, lelaki berusia 30-an dipercayai memecah masuk sebuah sebelum disedari oleh penghuni rumah terbabit.

“Penghuni rumah terbabit bertindak melindungi diri dan keluarganya apabila menyedari lelaki itu memecah masuk rumah.

“Dalam pergelutan itu lelaki yang memecah masuk rumah meninggal dunia. Hasil pemeriksaan, polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan luar pada mayat lelaki terbabit.

“Setakat ini, siasatan menjurus kepada kematian mengejut dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ashmon berkata, siasatan lanjut juga mendapati lelaki yang memecah masuk itu mempunyai lebih lima rekod jenayah lampau.

Beliau turut meminta orang awam tidak memanipulasikan kes itu dengan ulasan dan pandangan tanpa berdasarkan fakta siasatan, sebaliknya memberi masa kepada pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Sumber: BERITA HARIAN

Add Comment