Padah Menyerang Anggota Polis Dengan Parang, 2 Warga Asing Mati Ditempat Kejadian

DUA suspek samun yang menyerang anggota polis dengan parang ditembak mati di Templer Park, Rawang, 4.30 pagi tadi.

Kedua-dua suspek warga asing yang berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu dikenal pasti sebagai rakan subahat kepada seorang suspek ditembak mati di Rawang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, hasil maklumat diterima dan risikan dilakukan, sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan Operasi Kesan (Op Kesan) bermula 1.30 pagi tadi.

“Kami membuat serbuan di tapak berhampiran lokasi dua warga asing berkenaan bersembunyi sebelum menyerbu khemah terletak di dalam hutan berhampiran kira-kira 4 pagi.

“Kedua-dua suspek diminta menyerah diri, namun mereka bertindak menyerang anggota polis dengan parang.

“Sebagai langkah mempertahankan diri, anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek,” katanya ketika ditemui pada sidang media di lokasi kejadian, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiada pasport ditemui pada kedua-dua suspek terbabit.

Mazlan berkata, pihaknya yakin menyelesaikan 18 kes pecah rumah dan samun bagi tempoh 2016 hingga bulan Mac tahun ini membabitkan kerugian sebanyak RM360,000 yang dipercayai didalangi suspek berkenaan.

“Dalam kejadian terbaru, mereka dipercayai memecah masuk rumah di Templer Saujana, di sini, dua hari lalu. Kami menemui jam tangan berjenama dan telefon bimbit di lokasi kejadian dipercayai hasil kegiatan itu.

“Kami percaya berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah dan samun yang aktif di Rawang terutama di sekitar kawasan Templer.

“Polis percaya tiada lagi suspek diburu yang terbabit dalam kes ini. Kami juga akan melakukan risikan untuk mengenal pasti kumpulan pecah rumah dan samun di kawasan ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Kami percaya suspek sudah menggunakan khemah berkenaan sebagai lokasi persembunyian sejak lebih tiga bulan lalu,” katanya.

Mazlan turut memberi amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab membeli barangan hasil kegiatan samun dan pecah rumah daripada penjenayah.

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini menggalakkan penjenayah untuk melakukan kegiatan itu. Justeru, kami akan mengenal pasti lokasi penjenayah ‘melupuskan’ barang hasil kegiatan terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli barangan yang tidak diketahui diperoleh dari mana kerana tindakan itu akan menyebabkan mereka dalam bahaya,” katanya.

Sumber:  HARIAN METRO

Add Comment