Padah Belot Negara, Perut Seorang Askar Korea Utara Dipenuhi Ulat

SEOUL – Kisah seorang askar Korea Utara belot menyeberangi sempadan zon bebas tentera dengan sebuah jip curi untuk memasuki jirannya Korea Selatan minggu lalu mendedahkan banyak rahsia!

Dia yang berpaling tadah dengan merangkak ke sempadan itu setelah cedera teruk ditembak oleh tentera rejim Pyongyang kemudian ditemui askar Korea Selatan di bawah timbunan daun dalam keadaan berlumuran darah.

Mangsa segera dibawa untuk rawatan kecemasan, namun doktor bedah yang mengetuai pemeriksaan terkejut apabila mendapati perut askar musuh itu penuh parasit berbentuk cacing dan paling panjang ialah 27 sentimeter.

Dr. Lee Cook-jong dipetik media tempatan menyatakan perasaan terkejut kerana sepanjang karier sebagai pegawai perubatan selama 20 tahun, cacing sedemikian rupa hanya dapat dilihatnya menerusi bacaan buku teks universiti.

Beliau turut menunjukkan beberapa foto puluhan parasit dikeluarkan dari usus pencernaan tentera itu melalui siri pembedahan demi menyelamatkan nyawanya selepas diterbangkan dengan helikopter pada 13 November lalu.

Media Korea Selatan melaporkan, askar berusia 20-an tahun itu ditemui luka di bahu, lutut dan tangan. Mangsa bertugas di zon sempadan bersama Panmunjom, menurut Kim Byung-kee, anggota parlimen parti pemerintah.

Setakat ini Korea Utara tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung insiden itu. Lazimnya sesiapa yang derhaka kepada negara itu bukan sahaja dihukum mati, malah seluruh ahli keluarganya akan menerima nasib buruk sama.

Isi perut askar ini berdasarkan statusnya sebagai tentera, dalam posisi yang cukup elit, menggambarkan warga Korea Utara tidak mendapat makanan berkhasiat akibat sekatan ekonomi komuniti antarabangsa baru-baru ini.

Laporan perubatan mendedahkan, usus askar itu cuma berisi bijirin jagung, makanan ruji di Korea Utara setelah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa negara tersebut mengalami krisis kemarau terburuk sejak 2001.

Jurnal Korean Medical Review melaporkan, mangsa yang berpangkat staf sarjan hanya berketinggian 1.6 meter dengan berat pula 60 kilogram sahaja disahkan sebagai selamat menjalani pembedahan hampir empat jam itu.

Mereka mengesyaki askar terbabit mungkin makan jagung tercemar dengan najis manusia yang digunakan sebagai baja untuk pertanian kerana kekurangan baja haiwan atau kimia serta tiada pilihan lain untuk meneruskan hidup.

Pada 2015, penyelidik Korea Selatan yang mengkaji tahap kesihatan sekumpulan pembelot Korea Utara di sebuah hospital di Chenan antara 2006 dan 2014 mendapati bahawa pelarian itu lebih banyak mengalami penyakit kronik.

Ini termasuk hepatitis B, hepatisi C, batuk kering dan jangkitan parasit. Ia disebarkan melalui makanan dicemari cacing dan diburukkan lagi dengan sistem penjagaan kesihatan teruk di Korea Utara.

Sumber: MYNEWSHUB.CC

Add Comment