Murid Sekolah Dimarah Dan Dimaki Hanya Kerana Minum Air Masak Ketika Dalam Kelas

Situasi anak murid kena marah dengan ustazah atau cikgu di sekolah biasa tetapi yang jadi luar biasa bila puncanya cuma sebab minum air masak waktu sedang belajar!

Eh, agaknya kenapa ya? Haaa… nak tahu apa puncanya, baca perkongsian saudara Akhi Fairuz Al-Jengkawi ini…

Punca Anak Murid Kena Marah

Seorang ibu mengadu kepada saya, satu kisah yang membuatkan saya rasa geram, sedih dan keliru. Begini ceritanya.

Ibu ini dikurniakan 5 orang cahaya mata. Seorang lelaki 4 orang perempuan. Paling nakal yang lelaki inilah. Satu budaya yang sangat bagus diamalkan oleh Puan ini adalah, jika anak lelakinya buat hal, beliau tak akan marah-marah di depan adik beradik yang lain.

Dibawanya anak ini ke dalam bilik dan dinasihati baik-baik. Beliau tak mahu anak lelakinya ini rasa malu dan diejek oleh adik perempuannya yang lain.

Kena Marah Dengan Ustazah

Sehinggalah suatu hari, salah seorang anak perempuannya berkongsi, abangnya kena marah dengan ustazah dalam kelas. Ustazah itu maki hamun anaknya di depan rakan yang lain.

Lalu, si ibu ini bertanya kepada anak lelakinya, apa punca sampai Ustazah marah sebegitu. Lalu, anaknya maklumkan beliau minum air masak masa ustazah tengah mengajar.

Oleh sebab si ibu tak mahu mendengar cerita dari satu pihak sahaja, maka beliau sendiri cuba menyiasat dengan menanyakan hal ini kepada rakan sekelas anak lelakinya.

Maka benarlah, rakan-rakan anaknya menyebut, ustazah marah sebab anak beliau minum air masak ustazah tengah mengajar. Innallillah..

Namun, Puan ini masih mahu mencari jalan penyesaian. Tak apalah kalau tak boleh minum dalam kelas. At least akan datang beliau boleh ingatkan anaknya selalu.

Maka, si ibu menghubungi Guru Besar bagi meminta izin untuk bersua muka dengan ustazah berkenaan. Bukan nak cari gaduh, tetapi hanya mahu meminta maaf atas perbuatan anaknya itu.

Guru Besar izinkan. Maka terjadilah pertemuan antara keduanya. Oleh sebab pertemuan ini bukan nak cari gaduh, maka si ibu belilah satu dua ole-ole untuk diberi pada ustazah.

Beliau hadir bersama suami. Awal-awal lagi beliau sudah pesan pada suaminya, abang diam sahaja ya. Biar saya yang handle. Beliau masak benar akan perangai suaminya. Maklumlah, pesara tentera. Nanti tak pasal-pasal pertemuan yang harmoni jadi marah-marah.

Ustazah berkenaan menyambut pasangan suami isteri ini dengan senyuman. Maka, berlangsunglah diskusi antara mereka.

Si ibu bertanya betul ke baru-baru ini ustazah ada marah anak saya dalam kelas? Ustazah jawab ya. Dia bilang anak Puan nakal sangat dalam kelas.

Si ibu mendesak lagi. Sebab anak saya nakal atau ada sebab yang lain? Setelah diasak dengan soalan, barulah ustazah menjawab ya!

Beliau beri alasan ketika kejadian tu berlaku beliau tak sihat. Pening kepala nak handle pelajar dalam kelas. Entah macam mana terus sahaja marah anak puan ini yang minum air dalam kelas.

Jadi, si ibu pun kata tak apa ustazah. Jika anak saya buat hal lagi, saya beri izin untuk rotan beliau. Cuma, beliau minta sangat-sangat agar ustazah ini tak marah-marah anaknya di depan orang ramai lagi.

Tapi Begini Pula Jadinya…

Berakhir pertemuan ini. Ustazah pun tak marah-marah dah. Namun yang jadi masalah bila ustazah mula memulaukan anak lelaki puan ini. Buat-buat tak nampak sahaja dalam kelas.

Bukan itu sahaja, anak-anak perempuan si ibu yang bersekolah di situ juga dipulaukan oleh ustazah ini. Allah.

Tak terhenti setakat itu sahaja, jawatan pengawas yang disandang oleh anak lelaki si ibu ini juga dilucutkan. Maklumlah, beliau yang handle bahagian lantikan pengawas.

Tuan Puan, ini kisah benar yang berlaku pada seorang ibu, tahun lepas. Beliau kongsikan kepada saya agar memberi pandangan, apa yang boleh dilakukan oleh beliau selepas ini.

Nasihat saya kepada guru-guru di luar sana, tak kisahlah kalian guru mengajar subjek apa sekalipun, mohon sangat untuk pandang anak murid kalian dengan pandangan kasih sayang.

Saya tak tahu pula minum air masak dalam kelas satu kesalahan. Tengok anak Cina bawa bekal air masak ok je. Sana sini mereka minum.

Walau minum air dalam kelas satu kesalahan sekalipun, kendalikanlah ia dengan baik dan berhemah. Ustazah itu harus tahu apa sahaja memori ketika kecil yang berlaku, ia akan trigger sampai ke besar. Sampai tahap anak ini boleh trauma.

Ya, saya faham, ustazah letih, tak sihat. Tetapi itu bukan tiket untuk kita lampiaskan kemarahan pada anak murid. Apatah lagi disaksikan oleh rakan-rakannya yang lain.

Cara si ibu tadi dah betul. Tak buat report pun. Beliau guna saluran yang betul dan menyiasat. Bila dah bertemu, ustazah pulaukan dia dan adik beradiknya yang lain pula. Tak kena cara tu.

Kita yang dewasa ni nampak hebat sebab Allah tutup aib kita. Sedangkan di sisi Tuhan anak-anak kecil ini lebih mulia. Mereka masih terhindar dari noda dan dosa. Anak-anak syurga. Belajar agama bukan semata-mata untuk mengajar orang lain, tetapi ianya harus dipraktikkan dengan perbuatan kita.

Salute kepada semua guru-guru yang mampu kendalikan emosi ketika berhadapan dengan pelbagai ragam anak murid di sekolah.

Akhi Fairuz Al-Jengkawi,
Ini kisah seorang ustazah. Ramai lagi ustazah yang baik ya ampun.

Sumber: SOYA LEMON

Add Comment