Madrasah Tahfiz Sepatutnya Dibantu, Bukan Di Arah Tutup

BALING – Setiap madrasah perlu dibantu kerajaan, bukan ditutup sekiranya tidak menepati syarat atau kriteria tertentu.

Mudir Madrasah Nurul Hidayah di Banggul Setul, Kampung Tembak, Mohd Zainon Ariffin berkata, kerajaan perlu melengkapi kekurangan yang ada di mana-mana madrasah.

“Sepatutnya kerajaan bantu melengkapi kekurangan madrasah sekiranya mahu melihat keadaan bertambah baik,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada 14 September lalu menimbulkan pelbagai reaksi.

Mohd Zainon berkata, ada pihak berpendapat maahad tahfiz boleh ditutup sekiranya tidak berdaftar dengan agensi berkaitan mahupun mengabaikan aspek keselamatan.

Katanya, ada pihak cuba mengambil kesempatan untuk menutup madrasah selepas timbul isu kebakaran.

“Ada yang tidak menyukai sekolah agama. Jika di mulut mereka sanggup berkata untuk tutup, apatah lagi di hati mereka.

“Namun sekiranya sekolah-sekolah agama ditutup, sudah pasti rakyat akan bangkit menyatakan kegelisahan mereka dengan tindakan tersebut,” katanya.

Menurutnya, semua madrasah dituntut untuk dilayan secara adil sama seperti sekolah lain di bawah kerajaan.

“Kerajaan perlu memandang setiap pendidikan itu membawa kebaikan.

“Jangan kita politikkan pendidikan di madrasah dengan beranggapan menyokong pihak tertentu ataupun menentang pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Mudir, Osman Abdul Hamid berkata, institusi pengajian agama perlu dikekalkan selamanya selepas melahirkan ramai cendekiawan Islam yang bermanfaat kepada agama dan negara.

“Madrasah perlu dihargai kerana terbukti berjaya dalam mendidik masyarakat, memelihara agama dan membangunkan negara. Pondok perlu dikekalkan,” katanya.

Sumber: SINAR HARIAN

Add Comment