Letupan Berlaku Di MRT Menyebabkan Dua Orang Putus Kaki

SEKURANG-kurangnya tiga pekerja parah dalam kejadian letupan di tapak pembinaan MRT Bandar Malaysia dekat Lapangan Terbang Sungai Besi, Sungai Besi, hari ini.

Difahamkan, dua daripada pekerja berkenaan terputus kaki dalam kejadian 5.30 petang itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya membawa keluar tiga pekerja warga asing yang parah ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 5.23 petang mengenai kejadian letupan di tapak pembinaan di lokasi sebelum 25 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, Pudu dan BBP Tun Razak.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati kejadian di kawasan terbuka dan tiada kebakaran berlaku. Hanya kejadian letupan berkenaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat tiga mangsa yang parah di lokasi kejadian dan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

“Seorang pekerja warga Bangladesh cedera pada bahagian tangan dan kaki. Manakala dua lagi pekerja warga Bangladesh mengalami kecederaan parah pada kaki.

“Punca letupan masih lagi dalam siasatan dan kes diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, pihakanya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.

“Ketika ini siasatan masih berjalan dan laporan awal mendapati kejadian tiada berunsurkan jenayah, hanya kemalangan di tempat kerja.

“Tiga pekerja parah dan sudah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Maklumat lanjut akan diberikan sedikit masa lagi. Kami masih menjalankan siasatan,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

Add Comment