Lelaki Muslim Sanggup Turun Ke Longkang Demi Menyelamatkan Anjing

Sebagai seorang manusia, kita perlu sentiasa melakukan kebaikan tidak kira sama ada sesama manusia ataupun kepada haiwan. Walaupun kita berbeza dari segi agama, budaya dan status, kita semua merupakan makhluk ciptaan Tuhan.

Baru-baru ini, seorang pemuda menjadi bualan hangat netizen setelah tindakannya menyelamatkan dua ekor anak anjing yang terperangkap di dalam longkang menjadi tular.

Dalam video yang disiarkan pada 6 Mac lalu, pemuda yang beragama Islam itu dikatakan telah menemui kedua-dua anak anjing tersebut yang terjatuh ke dalam longkang di sebuah kawasan perumahan.

Setelah mendengar nyalakan anak-anak anjing itu, lelaki ini kemudian berusaha untuk menyelamatkan haiwan tersebut dengan menggunakan dua batang cangkul tanpa menggunakan tangannya (haiwan seperti anjing dan khinzir adalah dilarang dipegang oleh orang Muslim).

Dengan menggunakan cangkul tersebut, lelaki ini telah mengangkut salah seekor daripada anak anjing itu untuk dipindahkan ke atas tebing. Setelah diselamatkan, anak anjing tersebut bersembunyi di bawah sebuah kereta sementara menunggu rakannya pula diselamatkan.

Apabila misi untuk menyelamatkan anak anjing yang kedua, ia kelihatan agak takut dan cuba melarikan diri. Namun, pemuda ini tetap tidak menyerah dan terus mengekori anak anjing tersebut untuk menyelamatkannya.

Setelah beberapa percubaan menemui kegagalan, anak anjing yang kedua itu akhirnya berjaya dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat setelah seorang lagi lelaki masuk ke dalam longkang dan mengangkat anjing tersebut dengan tangannya.

Anak anjing tersebut kemudian berlari menemui rakannya yang sedang bersembunyi. Penyebaran video ini meraih perhatian daripada rata-rata netizen yang memuji tindakan kedua-dua individu tersebut.

Selain itu, ada juga yang kelihatan terhibur melihat gelagat pemuda berkenaan dalam cubaannya menyelamatkan anak-anak anjing itu.

Sumber: www.erabaru.com.my

Add Comment