Lelaki Ini Tidak Sedar Kucing Hitam Ini Cuba Menerkamnya Dari Belakang

MEXICO: Pada mulanya, ia kelihatan seolah-olah jaguar yang menghampiri seorang lelaki perlahan-lahan, akan menerkam dan membahamnya dari belakang.

Bahkan, semasa haiwan itu mendekatinya dengan renungan bengis dan menggerunkan itu, lelaki tersebut dengan tenang berbual-bual di sebuah kawasan perlindungan haiwan.

Namun, sebelum sempat kucing besar itu menerkamnya, lelaki berkenaan dengan pantas menoleh ke belakang, dan tanpa diduga, mula bermain-main dan mencium haiwan itu dengan penuh kasih sayang.

Bahkan, menurut laporan Daily Mail, beliau menyifatkan jaguar itu sebagai salah seorang “anaknya”.

Video tersebut, yang dimuat naik ke laman Instagram @bofokaram, sudah ditonton lebih 113,000 kali.

Ia menunjukkan jaguar itu bermain-main dengan lelaki itu dan menjilat wajahnya, sebelum kembali ke kawasan berumput di kawasan perlindungan haiwan tersebut dan berbaring sambil memerhatikan lelaki tersebut.

Lelaki itu ialah Eduardo Serio, ahli niaga kelahiran Mexico yang mengendalikan Yayasan Jaguar Hitam-Harimau Putih, yang menjaga kucing-kucing besar yang ditinggalkan dan diabaikan, serta berusaha merubah undang-undang yang membenarkan pembiakan haiwan-haiwan itu di Mexico, lapor Daily Mail.

Jaguar itu diberi nama Kal-El – iaitu nama sebenar Superman – dan merupakan antara haiwan yang dijaga Encik Serio di kawasan perlindungan haiwan itu.

Menurut Daily Mail, kawasan perlindungan haiwan seluas 30 ekar tersebut kini menjaga ratusan haiwan termasuk jaguar, singa, harimau dan kucing liar.

Video tersebut dimuat naik ke Instagram oleh seorang pekerja di situ, Bofo Farias Gonzales, yang turut memuat naik video haiwan-haiwan itu bermain-main dengan Encik Serio.

– Agensi berita/nd

Add Comment