Kucing Nakal, Sembunyikan Tikus Mati Dalam Almari Tuannya

Sekiranya anda adalah pemilik kucing, anda pasti mengetahui kucing adalah spesies pemburu yang hebat yang akan membawa ‘hadiah’ kepada tuan kesayangan pada waktu-waktu tertentu yang dikehendakinya.

Selalunya hadiah yang diberikan kepada pemilik berupa benda-benda hidup yang telah mati seperti burung kecil atau tikus yang akan dicampakkan di hadapan pintu, lantai atau di atas sofa.

Apa yang boleh dikatakan, kucing adalah pemburu yang hebat tetapi pada masa yang sama, pemberi hadiah yang paling teruk.

Penulis Jessica Wilzig bukanlah peminat haiwan peliharaan tetapi memelihara beberapa ekor kucing kerana mengetahui kucing akan memburu tikus dan membersihkan rumahnya dari ancaman tikus dan haiwan perosak yang lain.

Dalam blognya, Jessica menulis, “Sebab utama mengapa kami memelihara kucing ialah pada tahun 2011 rumah kami mempunyai masalah tikus dan kami telah memelihara Sparky dan ia adalah pemburu yang sangat hebat dengan menghapuskan kesemua tikus dan cicak yang berada di dalam rumah.”

Tetapi dalam video di bawah, Sparky telah pergi bercuti dan tugasnya diambil alih oleh Broccoli, kucing milik anak perempuan Jessica, yang agak kurang berdedikasi.

Menurut rekod tugasannya, Broccoli tidaklah berapa tangkas dalam menjalankan tugas.

Pada hari itu, semasa Jessica berada di rumah, secara tiba-tiba Broccoli ingin membuktikan ketangkasannya dengan berjalan sambil berlenggang-lenggang membawa seekor tikus yang besar di mulutnya. Dan ia masih hidup!

Jessica mencapai kamera telefon bimbitnya, sambil menjerit-jerit melihat Broccoli sedang berlegar-legar di dalam rumah dengan mengonggong tikus hidup di mulutnya.

Kemudian, tanpa menghiraukan arahan Jessica yang menyuruhnya keluar dan membuang tikus itu, Broccoli telah berlari naik ke tingkat atas untuk menunjukkan tikus itu sebagai hadiah kepada anak perempuannya, Lily.

Jessica melihat dari bawah dan mendengar anak perempuannya sedang menjerit-jerit kegelian melihat Broccoli bersama tikus itu di tingkat atas. Apabila Jessica naik ke tingkat atas, tikus itu telah menghilangkan diri dan bersembunyi di dalam almari.

Dan secara tiba-tiba, dilihat Broccoli telah hilang minat dan semangat untuk menyelesaikan tugasnya sambil duduk dengan selamba di hadapan almari itu dengan bersantai-santai bagai tiada apa yang berlaku.

Sementara seluruh keluarga Jessica pula sedang dalam kerisauan kerana seekor tikus telah terlepas dan sedang berkeliaran bebas di dalam rumah mereka.

Dan Jessica berkata, “Broccoli adalah kucing paling teruk dan tidak boleh diharap!”

Lihat video Broccoli membawa hadiah tikus hidup ke dalam rumah untuk keluarga Jessica di bawah.

Sumber: www.erabaru.com.my

 

Add Comment