Kucing Muka Bengis Menang Saman RM 2 Juta

DUIT banyak tidak akan membuatkan seekor kucing popular yang diberikan nama Grumpy Cat (Kucing Perengus) ini ‘tersenyum’ lebar, itulah kenyataannya meskipun menang kes saman berjumlah AS$710,000 (RM2,761,829)!
Mahkamah Persekutuan California telah memihak kepada Grumpy Cat yang popular di Internet dan merupakan satu jenama yang dilindungi undang-undang hak cipta dalam satu kes saman antara tuannya, Tabatha Bundsen dan sebuah syarikat minuman bernama Granade Beverage.

Pergaduhan itu tercetus daripada sebuah perjanjian yang ditandatangani oleh syarikat tersebut bersama Bunde untuk menggunakan imej Grumpy Cat pada tin produk minuman berasaskan kopi bernama “Grumpiccionos”.

“Kami menyoal juri mengenai apa yang mereka fikirkan betul dan mereka telah melakukan keputusan yang tepat,” kata peguam mewakili kucing tersebut, David Jonelis.

Jonelis turut berkata kes itu membuka lembaran baru dalam sejarah perguaman kerana ini merupakan kali pertama sensasi Internet memenangi kes saman di mahkamah.

Grumpy Cat telah menjadi popular sekelip mata apabila abang Bundsen memuat naik gambar dirinya menerusi laman sesawang Reddit.

Kucing tersebut terus mencetuskan tular, sehingga menjadi figura yang amat sinonim dengan tema parodi atau satira.

Popularitinya di alam maya juga kemudian mendatangkan keuntungan banyak kepadanya apabila Grumpy Cat mula muncul dalam filem dan rancangan televisyen, serta menjadi duta pelbagai produk.

Sumber: Mynewshub.cc

Add Comment