Kucing Mengambil Monyet Sebagai Anak Angkatnya Kerana Kasihan Melihat Dia Yatim Piatu

RUSIA: Nasib anak monyet ini mungkin tidak menyebelahinya jika tidak kerana seekor kucing yang menerimanya serta menjaganya bagai anak sendiri.

Rosinka, kucing berusia 16 tahun ini menerima baik seekor anak monyet yang ditinggalkan oleh ibunya di sebuah taman haiwan di Rusia, menurut laporan laman Telegraph.

Ibu monyet yang baru berusia tiga minggu ini enggan mendakap anaknya – perbuatan yang boleh membantunya untuk terus hidup dalam beberapa bulan pertama hidupnya.

Bimbang anak monyet itu tidak akan dapat bertahan, Pengarah Taman Haiwan Tyumen, Tatyana Antropova, memutuskan untuk membawanya pulang ke rumah dan memperkenalkannya kepada Rosinka, menurut Telegraph.

Menurut beliau, Rosinka belum pernah melahirkan anak kucing.

Maka, beliau tidak menyangka Rosinka menerima baik anak monyet berkenaan.

Anak monyet yang bernama Fedor itu sentiasa berada di belakang Rosinka kecuali semasa meminum susu.

Antropova berkata, Fedor akan tetap bersama Rosinka selama sebulan sehingga ia lebih kuat dan kemudian akan dipindahkan kembali ke taman haiwan untuk hidup bersama-sama monyet lain, lapor Telegraph.

Menerusi video ini, Fedor yang comel ini kelihatan selesa berada di belakang Rosinka:

– Agensi berita/nk

 

Add Comment