Khai Bahar Bakal Menunaikan Umrah Dan Melawat Pelarian Syria

MEMANG menjadi impian semua umat Islam untuk dapat menunaikan ibadah umrah dan haji sebelum menutup mata.

Begitu juga dengan penyanyi yang semakin meningkat naik, Khai Bahar apabila sudah menanam impian tersebut sejak mula menjejakkan kaki ke dalam bidang seni lagi.

Syukur rezekinya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Haram bersama kedua-dua ibu bapanya bakal direalisasikan pada hujung bulan ini.

Ia berikutan tawaran yang diterimanya daripada badan kemanusian Syria Care Malaysia pada Mei lalu.

“Alhamdulillah, impian untuk membawa ibu dan ayah menunaikan umrah akan tercapai tidak lama lagi.”

“Patutnya saya rancang tahun hadapan tapi Syria Care menawarkan saya pada bulan Mei lalu untuk pergi bersama mereka pada penghujung bulan ini.”

“Alang-alang tu, rezeki dapat awal bawa sekali ibu bapa saya. Sebab kita tak tahu macam mana keadaan kesihatan mereka tahun hadapan,” katanya dipetik mStar Online.

Khai Bahar merupakan antara Ikon Kembara Jiwa dan Kemanusiaan Syria Care yang bakal menunaikan umrah serta melawat kem pelarian Syria di Istanbul, Turki.

Katanya, selain dia dan keluarga, ahli kumpulan nasyid Rabbani iaitu Ustaz Azadan serta team Syria Care akan berangkat meninggalkan tanah air pada 31 Oktober depan.

Mereka akan menghabiskan masa di kem pelarian tersebut beberapa hari sebelum bertolak ke Madinah pada 4 November.

Dalam pada itu, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin menyatakan keinginannya untuk bantu saudara Islam di Syria makin membuak-buak apabila menjalinkan kerjasama dengan Syria Care Malaysia.

“Saya teringin sangat nak beri bantuan dan melihat sendiri keadaan di Syria. Sebelum ini saya hanya mendengar dan membaca mengenai negara itu.”

“Tapi sejak bekerjasama dengan Syria Care, hati saya lagi membuak-buak untuk pergi ke sana. Namun apakan daya, kita tidak dibenarkan untuk ke sana demi keselamatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi 23 tahun ini baru sahaja merangkul Anugerah Artis Paling Popular dan Lagu Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik di Singapura baru-baru ini.

Semoga dipermudahkan urusan Khai serta team Syria Care dalam membantu pelarian Syria nanti.

Sumber: MYNEWSHUB.CC

Add Comment