Kerajaan Berhasrat Untuk Memperkenakan Latihan Teknikal Dan Vokasional Kepada Pusat Tahfiz

SHAH ALAM: Kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) kepada sekolah tahfiz.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia bagi membolehkan pelajar tahfiz turut mempunyai kemahiran lain selain menghafaz al-Quran.

“Kerajaan juga bercadang nak perkenal TVET kepada pelajar tahfiz sebagai tambahan kebolehan mereka.

“Selain menghafal al-Quran mereka akan mempunyai kemahiran dalam TVET,” katanya ketika melancarkan TVET Malaysia di Pusat Latihan Tinggi (ADTEC), di sini, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, penjenamaan Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal sebagai TVET Malaysia adalah satu usaha bagi memantapkan koloborasi antara semua pihak berkepentingan dalam bidang berkenaan di semua peringkat.

Najib berkata, ia juga dapat mempromosi TVET sebagai pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan serta mempunyai potensi yang tinggi.

Katanya, kerajaan sememangnya menyedari TVET di negara ini mempunyai pelbagai dimensi dan ditawarkan dalam pelbagai bentuk program oleh tujuh kementerian utama.

“Melalui TVET Malaysia ini, semua institusi TVET di bawah pelbagai kementerian, diseru agar bersatu dan bergabung tenaga sebagai kolaborasi unggul lagi bersepadu, bagi melatih warga Malaysia khususnya anak muda kita untuk menjadi tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi.

“Apa yang penting, kempen TVET Malaysia ini perlulah dijadikan sebagai usaha berterusan bagi menarik minat rakyat Malaysia supaya memilih TVET sebagai bidang pilihan utama dalam landasan kerjaya,” katanya ketika melancarkan TVET Malaysia di Pusat Latihan Tinggi (ADTEC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain Kementerian Sumber Manusia, enam lagi kementerian yang mempunyai program TVET adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan.

Pada program sama, Najib turut menyampaikan anugerah kepada tujuh daripada 16 Ikon TVET, yang berjaya dalam masing-masing.

Beliau turut melawat hangar penyelenggaraan kapal terbang ADTEC Shah Alam.

Najib berkata, penjenamaan TVET Malaysia juga secara tidak langsung mampu mengubah dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat yang sering beranggapan bahawa latihan kemahiran adalah pilihan kedua atau yang terakhir serta hanya diceburi oleh mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang baik.

Sumber: BERITA HARIAN

Add Comment