“Kalau Kahwin Dua Seronoklah”

KUALA LUMPUR: Penceramah selebriti, Don Daniyal menyangkal dakwaan kononnya dia mendirikan rumah tangga buat kali kedua baru-baru ini.

Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 34, menegaskan isterinya masih seorang iaitu Dr. Husna Zahry yang dinikahinya pada 2012.

“Jujurnya saya belum pernah mendengar gosip mengatakan saya kahwin dua dan tidak tahu langsung mengenainya.

“Dakwaan itu tidak benar! Kalau benar saya kahwin dua, seronoklah… Setakat ini isteri saya hanya seorang,” katanya.

Don ditemui pada majlis tayangan program Ramadan 2018 anjuran Astro di Wow KL, pada Rabu.

Dalam pada itu, Don berkata, sekiranya benar dia berpoligami dia tidak akan merahsiakan perkara itu kerana perkahwinan adalah perkara baik dan patut dihebahkan.

“Kalau benar, pasti saya tak akan sorok kerana perkahwinan merupakan perkara yang baik.

“Bagaimanapun cerita saya kahwin dua ini memang tidak benar, jadi memang tidak betul, “ ujarnya.

Sementara itu, Don berkata, isterinya mungkin akan berasa marah dengan gosip bertebaran mengenai dirinya namun yakin wanita itu faham dan lebih mengetahui kebenaran tentang dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Don bakal muncul dengan program Al Kauthar Sentuhan Qolbu bersempena Ramadan bermula 14 Mei ini di Astro Oasis dan Maya HD.

Ia disiarkan setiap Isnin hingga Ahad pukul 7 petang.

Sumber:  mStar

Add Comment