Jep Kucing Berwajah Ngantuk Dan Mata Sepet

MARAN: Keletah manja dengan perwatakan selamba, membuatkan Jep boleh dianggap kucing paling popular di Malaysia, apabila mempunyai lebih 190,000 peminat menerusi akaun Facebook, Oh My Jep.

Kucing jantan baka American Shorthair berusia kira-kira dua tahun itu, juga mempunyai lebih 40,000 pengikut menerusi Instagram.

Akaun sosial itu dibuat khusus untuk memaparkan aktiviti harian Jep menerusi gambar yang dimuat naik pemiliknya iaitu pasangan suami isteri, Mohd Kamarul Anuar Mohd Ariffin, 33, dan Nor Azwana Awang, 30.

Populariti Jep dalam kalangan peminat kucing, membuatkan ada yang sanggup memandu ke Maran, semata-mata mahu bertemu dan bergambar dengannya.

Ketika ditemui wartawan BH di kediamannya dekat Kampung Kuala Sentul di sini, Nor Azwana yang lebih dikenali dengan panggilan Ummi, berkata membela kucing adalah antara hobinya sejak kecil.

“Sejak zaman kanak-kanak, saya memang sukakan kucing, cuma hanya memiliki kucing tempatan. Minat ini berterusan selepas berkahwin kerana suami juga berkongsi minat sama.

NOR Azwana bersama kucing kesayangannya yang diberi nama Jep serta kalendar serta kad Touch n’ Go yang menggunakan identiti haiwan peliharaan itu. – Foto Shafiq Zain

“Tambahan pula, saya menjadi suri rumah sepenuh masa, jadi bila ada kucing macam Jep, hilanglah rasa bosan,” katanya.

Beliau berkata, Jep dibeli ketika berusia tujuh bulan dari sebuah kedai haiwan di Temerloh pada tahun 2014 selepas beliau dan suaminya tertarik dengan wajahnya yang menyerupai model bungkusan makanan kucing terkenal.

“Sebaik melihat Jep di kedai itu, tanpa berfikir panjang, kami ambil keputusan membelinya. Selepas kira-kira setahun menjaga Jep, saya membawanya setiap kali menghadiri perjumpaan dengan peminat kucing lain.

“Rakan-rakan kemudiannya mencadangkan kepada saya membuka halaman khas di Facebook untuk Jep dan dari situ, setiap perkembangannya saya kongsi dengan peminat kucing lain,” katanya.

Nor Azwana turut menjelaskan pemilihan nama Jep dibuat selepas berbincang dengan suaminya dan ia lebih mudah diingati serta mempunyai nilai komersial.

“Pada awalnya, kami nak letakkan nama Jack tapi fikir balik sebab kedengaran terlalu kebaratan, lalu kami pilih Jep sahaja, sesuai dengan lokasi kami di kampung dan kebetulan meminati pelakon komedi terkenal, Jep dari kumpulan Sepahtu.

KELETAH manja Jep dengan perwatakan selamba

“Sambutan yang diterima sejak laman FB Jep dibuka amat membanggakan. Peminat kucing dari seluruh negara menyarankan supaya saya memperkenalkan barangan cenderahati Jep untuk dijadikan kenangan,” katanya.

Demi memenuhi harapan peminat Jep, Nor Azwana yang juga ibu kepada Ahmad Mujahid, 5 dan Ahmad Mukmin, 3; menawarkan beberapa cenderahati menggunakan nama Jep seperti kalendar dan kad Touch n’ Go serta kini merancang menghasilkan koleksi mug, bantal dan cadar.

Katanya, kos penjagaan Jep juga tidak terlalu tinggi iaitu di antara RM200 hingga RM300 sebulan, kecuali jika ia sakit dan terpaksa menjalani rawatan di klinik veterinar swasta.

Sementara itu, Kamarul Anuar yang juga Penolong Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Maran, yang menyokong minat isterinya itu, sentiasa berkongsi idea untuk menjadikan kucing mereka sebagai ikon dalam kalangan peminat haiwan itu di negara ini.

“Saya tidak sangka usaha isteri melalui FB mendapat respon baik daripada peminat kucing. Sekarang, Jep bukan sekadar penghibur bagi kami sekeluarga, bahkan turut dikongsi ratusan ribu peminat dari seluruh negara,” katanya.

Perhatian peminat membuatkan ramai tampil membantu pasangan suami isteri itu mengesan Jep hingga ditemui semula, sejurus laporan kehilangannya dimuat naik ke dalam akuan FB, dalam dua kejadian berasingan pada tahun lalu.

Info baka American Shorthair

-Dibawa ke Amerika oleh pelayar British bagi menangkap tikus dalam kapal.
-Sekarang dianggap baka tempatan Amerika.
-American Shorthair lebih besar dengan badan lebih panjang berbanding British Shorthair.
-Mempunyai warna bulu yang lebih variasi.
-Baka bersaiz besar tetapi jinak, penyayang dan manja.
-Personaliti yang senyap dan pendiam sambil suka memerhati.
-Tidak memerlukan perhatian yang banyak dari pemilik.

Sumber:  HARIAN METRO

Add Comment