Ini Mungkin Undi Saya Untuk Kali Terakhir

“SAYA akan terus mengundi selagi umur panjang dan diberikan kesihatan yang baik,” kata Othman Daud yang akan mengundi kali ke-14 pada Pilihan Raya Umum (PRU), 9 Mei ini.

Othman atau mesra dengan panggilan Pak Long Man yang kini berusia 106 tahun masih mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemilih sekiranya diberikan umur panjang dan tahap kesihatan yang baik.

Katanya yang lahir pada 12 Disember 1912 , walaupun tahap kesihatannya sudah tidak menentu dan menghadapi masalah pendengaran tetapi penglihatannya masih baik sekali gus membolehkannya membaca kertas undi pada hari pengundian nanti.

“Saya bersyukur pada usia seperti ini masih mampu melihat dengan baik tanpa perlu memakai cermin mata dan membolehkan saya meneruskan amalan membaca al-Quran serta surat khabar.

“Insya-Allah, jika umur panjang dan ada orang bawa ke pusat mengundi nanti, saya akan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi ,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Tanah Liat, di Permatang Pauh, hari ini.

Dia kini tinggal bersama adik perempuannya berusia 80 tahun dan seorang cucu lelaki berusia 16 tahun.

Othman yang mesra disapa dengan panggilan Pak Long berkata, suasana mengundi ketika dia masih muda sentiasa diingati hingga sekarang.

“Ini kali ke-14 saya akan mengundi dan suasananya sudah tentu lain tambahan pula berada pada usia seperti ini.

“Saya pun tidak tahu bila lagi saya akan berpeluang mengundi dan mungkin ini kali terakhir,” katanya dalam nada sedikit sebak.

Dalam semakan daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Othman akan mengundi bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) pula adalah Permatang Pasir.

Othman berkata, dia berharap sesiapa yang terpilih untuk mentadbir kawasannya kelak menjadi seorang pemimpin yang sentiasa menitikberatkan hal rakyat tidak mengira peringkat umur, bangsa dan agama.

Sumber:  HARIAN METRO

Add Comment