Harap Gigi Dan Kuku Je Tajam Tapi Takut Dengan Timun

Kucing merupakan salah satu haiwan peliharaan yang paling banyak dipelihara oleh manusia di seluruh dunia. Raut wajah yang comel dengan keletahnya yang aktif sememangnya menjadikan kucing ini sebagai haiwan peliharaan kegemaran ramai. Selain itu, kajian juga telah membuktikan bahawa kucing mampu menghilangkan tekanan yang dialami oleh manusia.

Dikenali sebagai haiwan yang memiliki ketangkasan, kuku serta gigi yang tajam untuk menangkap mangsanya, keupayaan melompat dengan ketinggian lima kali lebih tinggi daripada badannya, kucing merupakan haiwan comel yang penuh dengan kemahiran seperti seorang ninja.

Namun, kucing takut pada timun! Mungkin bukan semua kucing takutkan timun tetapi perkara tersebut membuatkan kita berasa ragu-ragu dengan kucing kita. Video mengenai ketakutan tidak terhingga oleh kucing terhadap timun sudah menular di seluruh dunia dan melihat kepada video ini pasti akan membuatkan anda terhibur.

Namun begitu, menurut pakar, menakutkan kucing dengan sayur tersebut akan memberikan kesan negatif kepada kucing anda.

Menurut Dr. Roger Mugford, seorang pakar tingkah laku haiwan, “Saya rasa reaksi yang diberikan adalah kerana kucing terkejut dengan satu objek yang tidak dikenali diletakkan secara sembunyi ketika mereka sedang menikmati makanan.

Kucing sentiasa berhati-hati dengan objek-objek yang tidak dikenali. Objek-objek ini mungkin melambangkan ular atau haiwan pemangsa yang lain. Saya rasa jika diletakkan labah-labah mainan, ikan palsu atau topeng muka juga akan memberikan reaksi yang sama oleh kucing”.

Penulis buku Think Like a Cat, Pam Johnson-Bennett pula menyatakan bahawa kucing seringkali menganggap tempat makan mereka sebagai kawasan yang selamat dan selesa. Memandangkan ramai individu mencuba helah dengan meletakkan timun secara senyap ketika kucing sedang makan, ini akan membuatkan kucing tersebut keliru tentang bagaimana sebiji timun boleh berada di tempatnya.

Mengenakan kucing anda ketika mereka sedang makan boleh mengakibatkan mereka tercekik. Oleh itu, fikir sekali lagi sebelum anda bergurau dengan kucing anda.

Sumber: Era Baru

Add Comment