Hanya Kerana Tidak Menjawab Salam, Seorang Remaja Dibelasah Tanpa Belas Kasihan

JAKARTA – Hanya kerana tidak menyahut teguran senior di aplikasi media sosial, empat remaja di sebuah institut latihan polis di daerah ini dibelasah tanpa belas kasihan.
Kejadian kejam yang berlaku di wilayah Gorontalo, Indonesia itu telah menarik perhatian netizen yang rata-rata mengecam tindakan menampar dan menerarajang berkali-kali sehingga ada yang termuntah.

Dalam rakaman tular tersebut, seorang mangsa yang sedang berdiri tegak di penjuru bilik disoal berkali-kali sebelum dia ditampar kuat sebanyak tujuh kali.

Suspek kemudian meminta mangsa maju setapak kehadapan dan lelaki itu menendang pada dada remaja malang itu. Turut kelihatan tiga lagi rakan mangsa yang diminta melakukan ‘ketuk ketampi’

Menurut Ketua Polis Biro Penerangan Masyarakat, Mohammad Iqbal, peristiwa itu bermula apabila salah seorang mangsa sedang mengadakan sesi ‘live’ menerusi akaun Instagram miliknya pada 28 Februari lepas.

“Pada waktu itu, mangsa masih berstatus pelajar di Sekolah Polis Negara (SPN). Suspek yang menegur di ruangan komen pada waktu itu tidak disambut dan itu menimbulkan dendam terhadap suspek.

“Pada malam 10 Mac, suspek meminta mangsa untuk datang ke rumahnya bersama tiga rakan lain. Saat mereka tiba di rumah suspek, merek dipukul dengan kejam,” katanya seperti yang dilaporkan media tempatan, Kompas.com.

Salah seorang mangsa yang tidak dapat menerima kenyataan kemudian membuat laporan kepada pihak atasan pada hari yang sama.

Tambah Iqbal, laporan kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan rakaman video berdurasi satu minit 13 saat itu sehingga kini telah mengundang kecaman negatif netizen di media sosial. –MYNEWSHUB.CC

 

Add Comment