Giliran Timbalan Perdana Menteri Pula Melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim Di HKL

SEHARI selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalan beliau, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bekas ketua pembangkang dan Ketua Umum PKR itu berada di sebuah wad di HKL selepas selesai pembedahan artroskopi pada Ahad lalu ekoran kecederaan bahunya akibat impak kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Foto eksklusif lawatan Ahmad Zahid bersama-sama isteri, Datin Seri Hamidah Khamis di sisi Anwar yang berbaring di katil hospital turut dimuat naik ke dalam akaun Twitter dan Facebook beliau sekitar pukul 4.30 petang Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut membuat catatan secara ringkas berbunyi: “Baru sahaja menziarahi DS Anwar Ibrahim yang selesai jalani pembedahan bahu kanan di HKL baru-baru ini. Semoga beliau cepat sembuh.”

Status itu menerima reaksi positif apabila mendapat ribuan tanda suka, selain dikongsi dan dikomen ratusan netizen. Turut kelihatan dalam foto tersebut ialah dua anak perempuan Anwar, Nurul Nuha dan Nurul Ilham.

Anwar kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh akibat kesalahan liwat siri kedua terhadap bekas pembantu peribadinya sendiri, Saiful Bukhari Azlan dalam kes perbicaraan kontroversi yang ditangguh puluhan kali.

Baru sahaja menziarahi DS Anwar Ibrahim yg selesai menjalani pembedahan bahu kanan di HKL baru2 ini. Semoga beliau cepat sembuh.

Posted by Zahid Hamidi on 18hb November 2017

Untuk rekod, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dipecat secara zalim daripada jawatan parti dan kerajaan termasuk sebagai menteri kewangan oleh Tun Mahathir Mohamad pada 1998 lalu konon atas kesalahan liwat.

Semalam, Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Anwar. Turut ada bersama ialah isteri Anwar sendiri, yang juga Ketua Pembangkang, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Anak lelaki Anwar, Muhamad Ihsan kemudian mengeluarkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada perdana menteri atas lawatan tersebut. Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Sikap dua pemimpin negara ini nyata dipuji pihak kawan dan lawan kerana berjiwa besar waima Anwar dan Wan Azizah antara tokoh pembangkang yang kerap kali melemparkan tohmahan buruk ke atas BN sejak dua dekad lalu.

Malah ada netizen mempersoalkan mana kelibat Mahathir selaku Pengerusi Pakatan Harapan sendiri yang tidak jenguk Anwar di dalam wad, walaupun mereka kini adalah sealiran perjuangan sama.

Sumber: MYNEWSHUB.CC

 

Add Comment