Dah Macam P Ramlee, Kopi Campur Dengan Serbuk Bateri

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Vietnam, pasti kita akan teruja untuk mencuba sendiri keenakan kopi asli di sana. Namun, setelah anda membaca artikel ini, mungkin anda berasa was-was untuk mencubanya. Hal ini kerana baru-baru ini, sebuah kilang memproses kopi didapati menambah ramuan ‘rahsia’ di dalam serbuk kopi yang dihasilkan oleh mereka, seperti bateri terpakai, kotoran dan habuk batu! Perkara tersebut dilaporkan berlaku di wilayah Dak Nong, Vietnam.

Menurut The Star, kilang itu diserbu oleh pihak polis setelah orang ramai mula mengesyaki ada ‘sesuatu’ berlaku di premis berkenaan dan kilang itu dimiliki oleh seorang wanita bernama Nguyen Thi Loan.

Semasa serbuan berlaku, pihak polis menemukan 12 tan serbuk kopi ‘kotor’, selain 35 kilogram serbuk hitam yang diekstrak daripada bateri terpakai dan sebaldi cecair hitam yang tidak diketahui kandungannya seberat 10 kilogram.

Selepas disoal siasat pihak polis, Loan berterus terang dan berkata bahawa dia membeli semua biji kopi yang telah ditolak oleh pengeluar lain pada harga yang rendah untuk mengurangkan kos. Kemudian, biji kopi berkenaan akan dikisar menjadi serbuk sebelum dicampur dengan ramuan kotor yang telah disebutkan. Langkah terakhir adalah mewarnakan campuran serbuk berkenaan dengan warna hitam bagi mengaburi pembelinya.

Difahamkan juga kilang yang diusahakan Loan telah beroperasi selama beberapa tahun dan pada tahun ini sahaja, sebanyak 3 tan keluarannya telah dijual dalam pasaran. Pihak polis juga telah mengambil sampel bagi menjalankan ujian di makmal untuk tindakan susulan.

Sememangnya serbuk kopi kotor ini telah dicemari dan tidak selamat untuk diminum oleh orang ramai. Hal ini kerana terdapat sebatian kimia daripada bateri.

Menurut pakar kimia daripada Universiti Kebangsaan Vietnam, Prof. Madya Tran Hong Con, campuran serbuk kopi itu mengandungi mangan dioksida yang terdapat pada bateri dan ia tinggi dengan sebatian oksida. Sungguh bahaya!

Malah, pengambilan 0.5 miligram mangan dioksida yang telah larut di dalam air sudah cukup untuk menyebabkan keracunan mangan pada manusia. Pengambilan dalam tempoh yang lama turut mengakibatkan kerosakan otak, di mana ia membawa kepada masalah halusinasi dan kematian.

Kita berharap agar pihak polis Vietnam dapat mengesan dan menangkap pengusaha kopi lain yang turut menggunakan taktik kotor sebegini agar peminat kopi mengalami keracunan.

Sumber: www.erabaru.com.my

Add Comment