Comel… Aksi Kelawar Makan Pisang Dengan Sangat Berselera

Adakah hari anda suram? Mahukan hiburan yang mampu membantu anda mengukir senyuman? Jangan risau, anda bakal disajikan dengan video yang tepat dan mampu menghiburkan anda.

Video mengenai seekor anak kelawar yang sedang sakit memenuhkan mulutnya dengan buah pisang ini sangat melucukan.

Kisahnya bermula apabila seorang wanita sedang memandu pada satu malam dan telah mendengar satu dentuman yang kuat. Dengan kadar segera, wanita berkenaan memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk melihat apa yang telah dilanggarnya.

Setelah puas memeriksa keadaan jalan raya, wanita ini melihat seekor anak kelawar terbaring di tengah jalan dan kelihatan seperti mengalami kecederaan akibat pelanggaran tersebut.

Justeru, wanita ini terus menghubungi pusat pemeliharaan haiwan bagi mendapatkan pertolongan untuk haiwan yang cedera itu.

Seorang pemelihara kelawar bernama Denise Wade tiba di lokasi kejadian iaitu Queensland, Australia dan telah membawa anak kelawar tersebut pulang bagi memberikan rawatan yang sewajarnya.

Anak kelawar yang diberi nama ‘Cik Alicia’ ini telah dipelihara oleh Denise sepanjang tempoh rawatannya. Sebelum boleh dilepaskan ke habitatnya, Denise telah melimpahkan sepenuh kasih sayang dalam merawat anak kelawar tersebut. Denise memberikan pelbagai jenis buah-buahan yang enak kepada anak kelawar ini.

Sepanjang Cik Alicia berada di bawah jagaan Denise, dia telah mengambil keputusan untuk merakamkan gelagat anak kelawar tersebut semasa sedang menikmati makanan.

Reaksi comelnya ketika memakan buah pisang yang diberikan oleh Denise sangat melucukan dan comel. Cik Alicia kelihatan sangat berselera menikmati pisang berkenaan sehingga kembung pipinya!

Memang comel! Nampaknya Cik Alicia sangat sukakan pisang.

Semoga Cik Alicia cepat sembuh dan membesar dengan comel.

Sumber: ERA BARU

Add Comment