Campak Anak Kucing Ke Tanah Selepas Belinya Daripada Kedai

BEIJING – Berang gagal mendapatkan kembali wangnya untuk anak kucing yang dibeli bagi teman wanitanya, seorang lelaki bertindak kejam menghempas haiwan itu di depan kedai.
Kejadian berlaku di sebuah kedai haiwan peliharaan di Nanjing, China, Jumaat lalu.

Menurut media China, lelaki berkenaan membeli kucing itu beberapa minggu lalu untuk dihadiahkan kepada teman wanitanya.

Namun, pemberiannya ditolak menyebabkan dia mahu memulangkan haiwan itu bagi mendapatkan kembali wangnya.

South China Morning Post melaporkan, kedai terbabit mempunyai polisi tiada pemulangan dan mereka enggan menerima kucing berkenaan, namun bersedia membantu lelaki terbabit menjaga kucing itu untuk beberapa hari.

Lelaki itu yang kembali dua minggu kemudian, berkeras mahukan kembali wangnya, malah mendakwa kedai berkenaan menjual kucing sakit kepadanya.

Selepas permintaannya ditolak, dia keluar dari kedai dan menghentak kepala haiwan terbabit ke kaki lima sebelum membuang bangkainya.

Perbuatan kejam lelaki itu turut dilihat pekerja di kedai berkenaan yang kemudian membuat laporan polis. – myMetro Online

Add Comment