Cacing Hidup Di Kaki Lelaki Ini Kerana Terpijak Najis Anjing

LONDON: Seorang lelaki terkejut apabila mendapat tahu apa yang kelihatan seperti vena varikos pada kakinya, sebenarnya cacing yang ‘hidup’ dalam kulitya.

Kes lelaki berusia 42 tahun itu disebut oleh para doktor dalam Jurnal Perubatan New England, menurut laporan The Daily Mail.

Menurut Daily Mail, lelaki berkenaan berjumpa dengan doktor di Kolej Perubatan Peking Union di Beijing untuk mengadu tentang ruam gatal yang kelihatan ‘bergerak’ dengan sendirinya ke bahagian lain di kakinya.

Ruam itu muncul pada kakinya sebulan sebelum itu, setelah beliau pulang dari bercuti di Nigeria, dan terasa amat gatal.

Namun, yang aneh, setiap hari, ruam tersebut kelihatan bergerak beberapa milimeter hingga beberapa sentimeter ke bahagian lain pada kakinya, kata lelaki itu kepada para doktor.

JANGKITAN LARVA CACING KERAWIT

Setelah memeriksa kakinya itu, para doktor memberitahu bahawa beliau mengalami cutanteous larva migrans, iaitu sejenis jangkitan kulit akibat parasit larva cacing kerawit.

Cacing-cacing kerawit itu rata-rata tinggal dalam usus haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing. Ia bertelur menerusi najis haiwan tersebut, biasanya di kawasan pasir di pantai atau di bawah rumah.

Daily Mail melaporkan, manusia boleh terkena jangkitan jika tersentuh najis haiwan berkenaan, contohnya sekiranya seseorang berjalan berkaki ayam di pantai atau tanah yang tercemar dengan najis haiwan.

Parasit tersebut akan kekal dalam epidermis kulit. Ia menyebabkan ruam gatal yang biasanya dilihat di kaki, bahagian belakang, punggung, paha atau perut.

Menurut Daily Mail, lelaki itu diberikan ubat anti-parasit albendazole dan selepas dua minggu, tanda-tanda di kakinya itu hilang.

Menurut kertas kajian di jurnal Penyakit Berjangkit Klinikal, cutaneous larva migrans merupakan penyakit kulit yang paling kerap dihidapi para pelancong yang ke negara-negara tropika.

Ia perlu dirawat serta-merta kerana boleh menyebabkan komplikasi termasuk impetigo, jangkitan kulit yang menyebabkan kulit melepuh atau reaksi alahan.

CARA MENGELAK DIJANGKITI

Kertas kajian itu menyatakan, cara terbaik untuk mengelak dijangkiti ialah melarang anjing ke pantai.

Jika ini tidak dapat dilakukan, seseorang harus memastikan hanya baring di kawasan pantai yang sudah ‘dibersihkan’ oleh pasang surut laut, atau di atas tilam, atau elak daripada baring di kawasan pasir yang kering, meskipun di atas tuala.

– Agensi berita/nd

Add Comment