Bukan Salah Fluffy Netizen Marah

“SAYA minta maaf pada yang tidak senang dengan tindakan berkongsi minuman dalam cawan yang sama dengan Fluffy di kedai bapa saudara, namun meja yang saya guna itu bukan untuk kegunaan pelanggan.”

Demikian penjelasan Afiq Shazwan On, 24, pemilik Fluffy yang video kucing itu berada di atas meja sebuah kedai makan serta berkongsi minuman dengannya, tular di laman sosial dengan pelbagai reaksi netizen.

Milo ❤️

Posted by Fluffy Empire on 17hb Oktober 2017

Afiq berkata, pelbagai komen berbaur kecaman termasuk mengatakan dia tidak beradab kerana membiarkan haiwan peliharaan berada di atas meja.

Video Fluffy minum milo ais dalam satu cawan di kedai makan Selasa lalu, tular sejak Rabu, dan menerima lebih 250,000 tontonan serta mengundang pelbagai reaksi netizen.

Namun, Menurut Afiq, meja kayu berdekatan kedai makan bapa saudaranya di Batu Pahat, Johor, yang menjadi tempat Fluffy berkongsi minuman dengannya itu adalah meja khas untuk keluarga dan rakan tempat melepak.

“Sejak Fluffy kecil, memang di situ tempat dia ‘melepak’ dengan kami apabila saya pulang ke kampung sehingga penduduk kampung yang mengenalinya sudah faham dengan ragamnya,” katanya yang dihubungi hari ini.

Afiq yang menetap di Shah Alam berkata, dia hanya membawa Fluffy ‘melepak’ di kedai makan tertentu, termasuk di Kuala Lumpur, terutama ketika Fluffy bertemu peminatnya.

“Kalau di Kuala Lumpur, saya bawa Fluffy ke kedai makan tertentu yang membenarkan kucing dan saya wajib membawa cawan sendiri untuk Fluffy.

“Hanya satu restoran mamak menyediakan ruang dan cawan khas untuk Fluffy kerana mereka sudah tahu Fluffy kerap dibawa berkunjung ke restoran itu,” kata pemilik kucing berusia dua tahun 10 bulan itu.

Fluffy sebelum ini popular dengan kisahnya yang manja dan gemar menaiki motosikal bersama Afiq. Kucing itu mempunyai lebih 85,000 pengikut di Facebook (FB) Fluffy Empire, yang dikendalikan Afiq.

Sumber: FLUFFY EMPIRE

Add Comment