Beranikah Anda Memandikan Kucing Anda?

Anehnya, sesetengah kucing kelihatan begitu menyukai air dan begitu bersabar apabila dimandikan. Tapi kebanyakannya akan memberontak dan melakukan revolusi berdarah apabila kita mengangkatnya menuju ke bilik air.

Berapa kalikah kucing perlu dimandikan? Sebenarnya tidak pernah ada jadual pun sekerap mana kucing itu perlu dimandikan.

Ada sesetengah kucing tak perlu dimandikan pun. Jujurnya, saya tidak ada takwim atau kala tertentu dan pemandian hanya dibuat berdasarkan faktor-faktor berikut:

  • Setakat mana berminyaknya lapisan bulu kucing.
  • Kehadiran kutu.
  • Kekotoran bulu.

Banyak kucing yang hidup hingga umur tuanya tanpa dimandikan walau setitik, pun begitu saya rasakan semua kucing akan kelihatan lebih baik dan bau lebih harum selepas dimandikan.

Kadangkala mandian perlu dilakukan atas sebab perubatan misalnya merawat penyakit kulit tertentu dan menghapuskan parasit luaran seperti kutu.

Apa Yang Perlu Disediakan

Jika kucing hendak dimandikan, yang penting sekali ialah penggunaan syampu yang betul. Kebanyakan syampu manusia tidak sesuai keseimbangan pH untuk kulit kucing dan perlu dielakkan.

Justeru carilah syampu khas untuk kucing atau binatang peliharaan. Atau anda boleh gunakan syampu bayi, itu tidak mengapa.

Jika anda menggunakan syampu kutu, bacalah dahulu labelnya samada sesuai atau tidak untuk anak kucing.

Anda boleh potong kuku kucing terlebih dahulu sebelum memandikannya untuk mengelakkan revolusi berdarah 🙂

Seandainya kucing anda mempunyai bulu-bulu yang tersimpul saya syorkan anda tangguhkan mandian ini dan selesaikan masalah bulu simpul terlebih dahulu.

Ini kerana mana-mana simpulan akan menjadi lebih keras dan ketat yang hanya menyukarkan lagi proses membuangnya.

Ada kucing yang demam selepas dimandikan maka gunakanlah air suam. Kalau boleh, gunakan air suam sahaja untuk memandikan mana-mana kucing pun.

Cara-Cara Memandikan Kucing

Anda boleh gunakan besen besar atau sinki. Jika bilik air anda ada tab mandi, anda boleh masuk sekali bersama-sama ke dalamnya.

Saya lebih suka guna sinki kerana lebih mudah mengendalikan kucing semasa kita berdiri.

  1. Letakkan kain, tuala atau tikar di dalam sinki supaya kucing tidak tergelincir.
  2. Pekerjaan akan jadi lebih mudah jika anda mempunyai getah paip berkepala semburan yang bersambung dengan pemanas air.
  3. Basahkan dahulu bulu kucing dengan air suam. Sauk belakang leher kucing jika perlu.
  4. Gosokkan syampu ke dalam bulu-bulunya bermula dari hujung leher dan menjauhi kepalanya, ke seluruh tubuh.
  5. Gosok sahaja kepalanya dengan buih syampu menggunakan tangan atau berus gigi.
  6. Gosok ekor dan juga punggungnya. Jangan geli-geli pula, ya. Buat tak tahu saja.
  7. Biarkan syampu meresap seketika.
  8. Bilas bersih dengan air suam.
  9. Perahkan keluar saki-baki air dari bulu-bulunya dan juga kaki dan ekor.
  10. Lapkan dengan tuala sekering yang mungkin.
  11. Jika ada, boleh gunakan pengering rambut. Tapi sesetengah kucing semakin memberontak disebabkan bunyinya.
  12. Sikat atau berus bulu kucing semasa proses pengeringan.

Jika ada syampu yang memasuki matanya, cepat-cepatlah bilas dengan air.

Anda bernasib baik jika kucing anda bertolak-ansur dalam bab mandian. Biasanya kucing yang diajar dari kecil kurang melawan berbanding kucing dewasa yang tak pernah mandi.

Tapi sememangnya kita boleh jangkakan bahawa kebanyakan kucing akan bergelut untuk melepaskan diri.

Sumber: ALAM KUCING

 

Add Comment