Bapa Saya Diserang Sakit Jantung, Kucing Ini Bergegas Menampar Muka Ibu Untuk Kejutkannya

Brandy Miller tidak pernah menyangka kucing peliharaan keluarganya, Shotzie yang gemar menyendiri akan melakukan sesuatu tindakan yang menjadikannya seperti seekor wira teragung!

“Shotzie bukan sejenis kucing yang ramah dengan manusia. Ia tidak suka mendekati sesiapa sahaja kecuali ibu dan bapa tiri saya, Kirk. Jika ada yang menghampiri, ia akan menyorok”.

Malah, Brandy juga memaklumkan bahawa Shotzie tidak mesra dengan ahli keluarga lain di dalam rumah tersebut termasuklah Brandy dan adik-beradiknya.

Akan tetapi, sekitar tiga minggu lalu, Shotzie telah melakukan sesuatu yang membuktikan bahawa kucing comel ini amat menyayangi keluarganya walaupun tidak pernah ‘bertegur sapa’.

Pada 2 Mac yang lalu, bapa tiri Brandy telah diserang sakit jantung secara mengejut.

“Kirk sedang bersiap untuk ke tempat kerja. Dia keluar rumah pada jam 4 pagi. Saya rasa dia baru selesai memberi Shotzie makan dan sewaktu dia menuju ke pintu, dia telah mendapat serangan jantung. Lantaran itu, Kirk rebah ke lantai”.

Melihatkan kejadian mengejut itu, Shotzie mula bertindak dengan mengejutkan isteri kepada Kirk.

“Dia (Shotzie) lari ke dalam bilik tidur, panjat katil dan menepuk kepala ibu saya sambil mengeluarkan bunyi mengiau yang sangat kuat untuk mengejutkan ibu”.

‘Ngauman’ daripada Shotzie berjaya membuatkan ibu Brandy, Tammy bangkit dari tidurnya.

“Dia mengiau seperti singa gunung!”

Memandangkan Shotzie tidak pernah mengeluarkan bunyi sekuat itu, Tammy sedar ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Jadi, Tammy telah pergi ke ruang tamu dan pada ketika itu, dia telah menemui suaminya terbaring di atas lantai.

Menyedari keadaan suaminya yang terlantar itu, Tammy segera memberikan rawatan pernafasan mulut ke mulut tetapi tidak berjaya. Dia kemudian segera menghubungi anggota penyelamat.

Setibanya anggota penyelamat, mereka terpaksa menggunakan kejutan elektrik sebanyak tiga kali ke atas Kirk sebelum akhirnya mendapat respon dan degupan nadi pada Kirk.

Terima kasih atas pertolongan Shotzie, Kirk dapat dibawa ke hospital untuk diselamatkan. Setelah pulang dari hospital, keadaan kesihatan Kirk semakin beransur pulih dan Shotzie pula tidak pernah mahu berenggang dengan manusia kesayangannya itu.

“Dia akan melihat Kirk sepanjang masa walaupun ketika Kirk masuk ke tandas,” kata Brandy.

Bagi membalas budi Shotzie, Kirk akan memberikan kucing itu makan makanan yang mewah dan sedap. Malah, dia turut memastikan Shotzie hidup dengan selesa dan bergaya.

Sejak peristiwa menakjubkan itu berlaku, pandangan Brandy terhadap Shotzie turut berubah. Mereka sekeluarga mula menerima kehadiran kucing betina ini sebagai salah seorang ahli keluarga mereka yang sah.

“Shotzie juga mula mendekati saya. Kami tidak lagi menganggapnya sebagai kucing yang kejam.”

Sumber: Era Baru

Add Comment