Bangkai Gajah Ditemui Lagi Angkara Pemburu Haram

SANDAKAN: Jabatan Hidupan Liar Sabah mengesahkan penemuan dua bangkai gajah Pygmy Borneo dengan satu daripadanya dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya.

Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata bangkai gajah itu ditemui di lokasi berasingan di Tawau dan Kinabatangan dalam tempoh dua minggu lalu.

Katanya, kes pertama membabitkan penemuan bangkai anak gajah jantan pada 10 September lalu di Dumpas, Tawau.

“Ketika ditemui, anak gajah itu masih mempunyai gading serta tiada kecederaan pada luaran tubuh.

“Siasatan masih dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian dan kita akan mengambil contoh organ dalaman penting pada anak gajah itu untuk dianalisis,” katanya ketika dihubungi BH di sini, sebentar tadi.

Augustine berkata, bangkai gajah kedua ditemui di Sungai Kinabatangan, Isnin lalu dan dipercayai dibunuh oleh pemburu haram di kawasan ulu sungai dengan gadingnya dipotong, sebelum bangkai haiwan berkenaan dibuang ke sungai.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk mengesan lokasi sebenar haiwan berkenaan dibunuh.

“Satu-satunya cara untuk tahu di mana ia dibunuh adalah dengan memeriksa sepanjang sungai, namun ia agak sukar kerana jarak sungai yang terlalu panjang. Bagaimanapun, kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari dan meneruskan penyiasatan,” katanya.

Ia kes terbaharu kematian gajah Pygmy Borneo di Sabah selepas seekor gajah betina ditemui mati dengan kesan tembakan dalam sebuah ladang sawit berhampiran Hutan Simpan Malua dekat Kinabatangan, awal bulan lalu.

Sumber: BERITA HARIAN

 

Add Comment