Ayam Dewata Membawa Tuah

Kota Bharu : Ayam serama yang diberi nama Dewata dinobatkan juara keseluruhan Pertandingan Kesenian dan Kecantikan Warisan Ayam Serama Peringkat Negeri Kelantan 2017, di sini, semalam.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan pemiliknya, Tan Boon Hin, 36, membawa pulang wang tunai RM300 berserta sijil untuk kategori Ayam Serama Muda dan trofi juara keseluruhan.

Tan ketika ditemui berkata, ini kemenangan kedua Dewata selepas memenangi kategori sama di Melaka, baru-baru ini.

“Saya tidak menyangka Dewata mampu menjadi juara berikutan saingan hebat daripada peserta lain.

“Apa pun saya bersyukur dengan kemenangan ini dan akan terus berusaha yang terbaik untuk pertandingan lain pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, keunikan ayam serama itu menarik perhatian pelbagai pihak hinggakan ada yang sanggup menawarkan harga RM7,000 untuk mendapatkan Dewata.

“Bagaimanapun, saya menolaknya kerana sayangkan Dewata dan sukar untuk memilki ayam seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Serama Kelantan Wong Sun Meng berkata, 400 peserta dari seluruh Malaysia menyertai pertandingan dengan mempertaruhkan lebih 450 ayam dalam lapan kategori.

“Antara kategori dipertandingkan ialah Serama Remaja, Serama Muda, Serama tanpa Lawi dan Serama Betina,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

Add Comment