Ayah Lebihkan Bini Muda Daripada Bini Yang Tua

Sejak ayah berkahwin dua, saya dan adik rasa terabai. Ayah lebih kerap ke rumah ibu tiri berbanding menghabiskan masa bersama kami. Ibu pernah memberitahu ayah luahan perasaan kami kepadanya tetapi masih tiada perubahan.

Alexia ElAmeer,

Bandar Kinrara.

Sejauh mana ayah mengabaikan anda dan keluarga hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Saya mulakan pernyataan dengan merujuk kitab Tanbihul Ghafilin karangan Imam Abu Laits As-Samarqani, halaman 157, dinyatakan bahawa sifat buruk sangka terhadap ayah sendiri adalah sikap yang terkutuk.

Moralnya, memuliakan ayah mencakupi nilai kendiri untuk bebas daripada sikap buruk sangka terhadap ayah dan ibu tiri anda sendiri.

Kebanyakan anak pada zaman moden ini mesti belajar, membaca dan memahami ilmu psikologi tingkah laku dalam berurusan dan berkomunikasi dengan ayah, khususnya terhadap ayah yang beristeri lebih daripada seorang. Anak perlu faham tanggungjawab mereka sebagai anak. Apakah hak anak? Apakah peranan anak? Apakah ciri konsep kendiri anak yang soleh? Apakah ciri kesilapan anak dalam meluahkan tingkah laku ayah mereka di rumah dan di luar rumah? Apakah anak berkuasa untuk mengawal jadual pergerakan ayah mereka?

Apakah punca ayah kurang pulang ke rumah? Banyak lagi perkara yang boleh dikaitkan, adalah tergolong dalam kalangan ayah yang berdosa kerana kurang pulang ke rumah anda? Sejauh mana pula ayah anda lebih mengutamakan keluarga tiri.

Semua mahu kasih sayang

Semua orang amat memerlukan perhatian, kasih sayang dan belaian manja daripada orang lain, khususnya daripada ahli keluarganya. Kucing pun perlu dibelai dan dimanja, inikan manusia.

Bezanya, manusia berbanding kucing ialah manusia ada akal, tanggungjawab dan amanah. Setiap anak diamanahkan oleh ayahnya untuk belajar bersungguh-sungguh, mentaatinya, mentaati perintah Allah misalnya bersolat lima waktu, menjaga keselamatan harta ayah di dalam rumah dan menjaga nama baik ayah.

Berfikiran positif

Anda perlu positif, buang rasa cemburu dan buruk sangka. Jangan mengundang rasa marah ayah dengan soalan yang mencabar kewibawaannya sebagai ketua keluarga.

Jika kita mahu disayangi, kita mesti memberi kasih sayang dan perhatian lebih kepada orang itu. Ia termasuk terhadap ayah anda sendiri. Sikap anak yang bijak dan soleh sentiasa berfikiran positif dan melayani ayahnya dengan cara yang tenang.

Kita hidup di dunia ini sebenarnya dalam tempoh yang sangat singkat. Kita tidak perlu membazirkan tenaga tubuh dan daya intelek dengan memikirkan hal ehwal yang tidak pasti berkaitan dengan ayah. Hiburkan hati ayah dan tunjukkan kepadanya, anda dan adik-beradik lain sayangkannya dan membuktikan kecemerlangan dalam pelajaran mahupun kehidupan.

Add Comment