Anak Kucing Hampir Mati Kelaparan Diselamatkan Pemuda Ini

Ada yang menyatakan perasaan sayang itu dibalas dengan perasaan sayang. Sekiranya kita menyayangi orang  atau makhluk yang lain, mereka juga akan menyayangi kita sebagai balasan.

Sebagai manusia yang mempunyai akal yang lebih dari makhluk lain, sepatutnya kita boleh berfikiran dan bertimbangrasa untuk menjaga makhluk yang lain sekiranya ia memerlukan bantuan.

Inilah yang dilakukan oleh seorang lelaki yang menemui tiga ekor anak kucing sesat yang memerlukan bantuan dan perlindungan.

Seorang lelaki dari Orlando, Florida, Amerika Syarikat telah menghadiri satu seminar apabila beliau terserempak dengan tiga ekor anak kucing yang berpelukan antara satu sama lain di satu penjuru di hotel Marriott World Center. Ketiga-tiga anak kucing itu tidak henti-henti mengiau memanggil ibu mereka yang tidak kelihatan.

Salah seorang pekerja valet di hotel itu mengatakan yang dia ternampak anak-anak kucing itu telah keluar dari enjin sebuah kereta yang diletakkan di perkarangan hotel awal pagi itu.

Risau akan keselamatan anak-anak kucing itu yang mungkin tidak akan hidup lama jika dibiarkan begitu sahaja tanpa bantuan sesiapa, beliau telah mengambil ketiga-tiga anak kucing itu.

Pada mulanya, anak-anak kucing itu berasa takut dan telah lama terdedah dengan cuaca yang panas. Lelaki itu telah menemui sebuah kotak dan memasukkan ketiga-tiga anak kucing itu ke dalamnya lalu membawa mereka pulang ke rumahnya.

Semasa di rumah, anak-anak kucing itu telah diberikan air, makanan dan tempat perlindungan sementara dalam mendapatkan mereka tempat perlindungan yang kekal kelak.

Apabila terpandangkan lelaki ini, anak-anak kucing ini berasa takut pada mulanya. Akan tetapi lama kelamaan mereka berasa selesa bersama lelaki ini dan mulai mesra. Mungkin mereka menyedari yang manusia tidaklah semuanya bersikap dingin terhadap haiwan.

Selepas beberapa hari, lelaki ini mengambil keputusan untuk memelihara ketiga-tiga anak kucing ini kerana sudah berasa sayang untuk memberikan mereka kepada orang lain.

Seekor daripada anak kucing berkenaan menjadi sangat rapat dan akrab dengan anjing peliharaannya.

Katanya, anak kucing itu tiba-tiba sangat sayangkan anjing Border Collienya bernama Valerie. Mereka berpelukan di antara satu sama lain selama berjam-jam lamanya seperti tidak mahu melepaskan satu sama lain.

Anak kucing itu telah dinamakan Anastasia dan sangat disayangi oleh tuan barunya. Sementara itu Valerie, si anjing peliharaan itu merasakan yang Anastasia seperti anaknya sendiri. Valerie sangat menyayangi Anastasia seperti mana seekor ibu menyayangi anaknya.

Anak-anak kucing ini sangat bertuah kerana telah ditemui oleh lelaki budiman dan penyayang pada masa yang sangat tepat. Mungkin nasib mereka tidak sama jika tidak dijumpai lelaki yang baik hati ini yang sanggup membawa mereka pulang ke rumah dan mengambil keputusan memelihara mereka pula.

Masih ada ramai lagi manusia yang budiman dan baik hati di luar sana seperti lelaki ini. Syukur dengan adanya mereka, dunia ini akan mempunyai peluang menjadi lebih baik.

Sumber: Era Baru

Add Comment