“Allah Kabulkan Doa Saya”- Ayah Menemui Anak Selepas Baca Yasin Dan Berdoa

“SYUKUR pencarian tiga hari berakhir hari ini selepas saya dan anak sulung melaungkan azan, baca surah Yassin serta berdoa di lokasi pencarian awal pagi,” kata Ridzwan Zainal Abidin, 46.

Ridzwan adalah bapa Rafiuddin Fakhrullah, 13, seorang daripada dua mangsa lemas yang dihanyutkan arus selepas terjatuh longkang dekat sekolah di Taman Yarl, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Rizwan berkata, pihaknya sedang menunggu untuk pengecaman mayat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sebelum proses menuntut jenazah dibenarkan bagi urusan pengebumian.

“Kami dimaklumkan penemuan anak ketika di lokasi. Saya bersama anak sulung (Rashid Redza, 18) pergi ke lokasi pencarian di Lombong Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah selepas solat subuh.

“Kami melaungkan azan, membaca surah Yassin dan berdoa bagi memudahkan pencarian anak.

“Selang beberapa minit selepas itu kami dimaklumkan oleh pihak bomba mengenai penemuan itu,” katanya ketika ditemui di HCTM, Cheras, hari ini.

Menurutnya, jenazah anaknya akan dikebumikan secepat mungkin.

“Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Abdul Rahman Auf, di Jalan Klang Lama dan pengebumian di Kampung Tohol, Kinrara. Selewat-lewatnya selepas Asar,” katanya.

Sementara itu, Amran Mohamed Ali, 35 iaitu bapa kepada seorang lagi mangsa lemas, Muhammad Syafiq Akmal, ketika ditemui berkata, pihaknya reda dengan pemergian anak kedua daripada enam beradik itu.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pantai Dalam.

“Syukur jasad anak sudah ditemui selepas tiga hari usaha mencari dan menyelamat dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Maalaysia (APM).

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus bagi mencari anak dan rakannya yang lemas,” katanya.

Dalam kejadian jam 3 petang,

Isnin 30 Oktober, dua mangsa terbabit dihanyutkan arus selepas terjatuh ke dalam longkang ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Rakan mereka, Aidil Azhar Sham Saffiri, dapat menyelamatkan diri dengan berpaut di tebing dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Univerisiti Malaya (PPUM).

Sumber; HARIAN METRO

Add Comment