Akibat Peperangan Bayi Berusia Sebulan Kehilangan Sebelah Matanya

GAMBAR bayi Syria yang kehilangan sebelah mata akibat serangan udara kerajaan Oktober lalu, yang tular mencetuskan gerakan menentang perang dan keganasan hingga mendapat perhatian dunia, termasuk anggota Majlis Keselamatan PBB.

Karim Abdallah yang baru berusia sebulan cedera dalam serangan udara pesawat regim Presiden Bashar al-Assad pada 29 Oktober di Ghouta Timur, dekat Damsyik, kehilangan sebelah mata selain parut yang mungkin kekal pada mukanya.

Ibunya terbunuh dalam serangan itu.

Ramai pengguna media sosial merakam gambar mereka dengan menekup sebelah mata sebagai tanda sokongan kepada Karim dan menyiarkannnya di Twitter dan Facebook dengan hashtag #SolidarityWithKarim.

Duta Britain ke PBB, Matthew Rycroft turut menyiarkan gambarnya dengan gaya yang sama di Twitter ketika dlaam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

“Keitika kita duduk dalam mesyuarat ini dan membincangkan langkah perlu diambil, ada orang yang mati di sana. Sekolah dibom. Kanak-kanak berparut,” tulis Rycroft.

Kerajaan Turki yang menyokong pemberontak di Syria turut tersentuh dengan gambar Karim.

“Meskipun dunia mendiamkan diri dan tiada siapa mendengar jeritan dari Syria, kita akan menjadi suara, mata dan telinga Karim,” tulis Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Numan Kurtulmus.

Kempen solidariti itu dilancarkan jurugambar bebas, Amer Almohibany, 28, di Ghouta Timur.

“Saya melawat bayi itu dan saya tersentuh melihatnya walaupun belum merakam gambarnya. Ia menghantui saya,” katanya.

Pada pertengahan Disember lalu, beliau menyiarkan gambar Karim sebelum menyiarkan gambarnya sendiri dengan menekup mata.

“Tujuan kempen ini agar dunia melihat kesengsaraan bayi yang tidak berdosa ini akibat perang yang kehilangan mata dan ibunya,” katanya.

Bapa Karim berkata, anaknya itu kini dijaga ibu saudara bayi itu dan menjalani rawatan susulan di sebuah hospital di Hammuriya.’

Jurugambar, Firas al-Abdallah, 24, berkata mereka mahu menarik perhatian dunia terhadap jenayah regim Syria terhadap penduduk awam di Ghouta Timur yang sedang dikepung.

“Mereka adalah pembunuh kanak-kanak,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

Add Comment