Adakah Anda Mahu Tinggal Di Rumah Mampu Milik Bersaiz Mini Ini?

KUALA LUMPUR: Sebarang idea baharu untuk tempat tinggal wajar diberi perhatian memandangkan wujud permintaan yang tinggi untuk perumahan.

Sempena Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9, Think City bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah memuatkan satu eksperimen sosial berkaitan keperluan asas ini di Medan Pasar.

Konsep ‘communal living’ merupakan satu konsep yang mungkin asing bagi sesetengah orang. Namun, secara ringkasnya, ia merupakan konsep perkongsian ruang tempat tinggal.

Oleh itu, Think City mengambil keputusan untuk mencuba konsep ini melalui pendekatan micro house atau rumah mikro.

Kebiasaannya, rumah mikro berukuran lebih kurang 250 hingga 350 kaki persegi dan direka secara minimalis untuk memastikan setiap ruang digunakan secara efisen.
Menurut pengurus projek Think City, Joanne Mun, konsep communal living diilhamkan sesuatu yang amat dekat di hati ramai orang iaitu semangat kehidupan di kampung.

“Idea ini berdasarkan semangat hidup di kampung dimana orang saling bantu-membantu tetapi dalam konteks di bandar, terutamanya di Kuala Lumpur, segalanya bergerak pantas dan biasanya orang ramai terlalu sibuk dan tidak berinteraksi dengan jiran mereka,” katanya.

Tambah beliau, jika diberi peluang, Think City ingin mengaplikasikan konsep ini dalam situasi dunia sebenar dengan mengguna semula bangunan yang kosong atau bangunan komersial yang tidak lagi beroperasi.

Ini merupakan cadangan mereka memandangkan orang ramai memberi maklumbalas positif walaupun saiz rumah mikro hanya separuh daripada saiz rumah biasa.

“Ia sebenarnya sangat luas dan bergantung kepada siapa yang merekanya.

“Jadi, ada pelbagai cara untuk melakukannya dan ia diaplikasikan di beberapa negara. Oleh itu, kami merasakan kenapa tidak perkara ini dicuba di Malaysia?” kata beliau.

Selain itu, Joanne turut ditanya tentang sama ada konsep ini boleh menarik minat golongan yang berkeluarga dan bukan hanya golongan muda yang belum berkahwin.

“Buat masa ini, kami menumpukan kepada individu kerana kami merasakan bagi mereka yang berkeluarga, mereka tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan orang lain kerana sibuk menguruskan anak masing-masing.

“Niat kami adalah untuk mewujudkan komuniti dan apabila anda belum berkahwin, anda mempunyai masa untuk berinteraksi,” jelasnya.

Namun, beliau tidak melarang mana-mana keluarga yang berminat untuk menerokai konsep rumah sebegini.

Ini kerana, baginya, setiap individu dan keluarga mempunyai pilihan tersendiri.

Sumber:  Astro Awani

Add Comment