Abang Mati Dikubur Atok

KESETIAAN seekor kucing yang diberi nama panggilan ‘Abang’ menjadi tular di media sosial sekaligus membuktikan bahawa jika kita memberikan kasih sayang kepada insan, atau pun kucing sekali pun mereka pasti akan menjadi teman kita buat selamanya.
Seorang pengguna Facebook yang bernama Azreen MJ berkongsi cerita kucing peliharaan arwah bapanya.

Menurut catatan Azreen MJ, setelah pemergian bapanya sekitar dua minggu lalu, ‘Abang’ begitu terkesan dan bersikap murung sehingga enggan makan.

‘Abang’ yang sebelum ini seekor kucing yang manja dan nakal tiba-tiba berubah kepada lebih suka menyendiri.

Kisah Sayu 'Abang' Mati Rindukan Atok

Lebih memilukan, hampir dua minggu ia tidak bersuara, namun sebaik diberitahu akan dibawa ke kubur bapa Azreen MJ, atau dikenali sebagai ‘Atok’, ia langsung mengiau.

Pada 10 Mei, tanpa perlu didukung mahupun diarahkan, ‘Abang’ tahu mencari jalan sedangkan ia tidak pernah ke kubur Allahyarham.

“Ia tahu itulah pusara sahabat baik teman semakan dan ibadah. Cinta mereka berdua amat kuat. Abang siap baring dan mencium pusara sahabatnya. Lama juga dia melepaskan rindu,” tulisnya.

Kisah Sayu 'Abang' Mati Rindukan Atok

Pada malam yang sama, ‘Abang’ pula kembali menghadap Ilahi, genap dua minggu setelah pemergian tuannya.

“Nanti kat sana abang cakap dengan Allah, atok jaga abang dan sayang adik-adik abang. Pimpin tangan atok masuk syurga ya bang,” tulis Azreen MJ mengakhiri catatannya.

Perkongsian Azreen itu mendapat sambutan daripada netizen yang nyata sayu apabila membaca kisah kesetiaan ‘Abang’.

Netizen menganggap perhubungan ‘Abang’ dan Atok adalah luar biasa dan mereka mendoakan kedua-dua sahabat itu. – MYNEWSHUB.CC

Add Comment